MOT harap hukuman paling berat dikenakan terhadap pemandu mabuk

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 5:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap agar pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada Ahad dikenakan hukuman paling berat di mahkamah sekiranya didapati bersalah.

Menterinya, Anthony Loke berkata, MOT menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan kes kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang itu agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjalankan pendakwaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian menyayat hati itu sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Menurut beliau, pindaan undang-undang berkaitan diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Jelasnya sambil memetik Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

"Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat iaitu penjara tidak kurang dari 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

"MOT merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar, individu yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Raya Barat semalam.

"Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa tidak berdosa, malah satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anthony dalam masa sama memaklumkan, kementerian sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta 333 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

"Kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara," ujar menteri itu lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, mangsa maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan, kejadian itu melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta.

Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Suspek telah direman empat hari bermula Isnin hingga 2 April ini bagi membantu siasatan.