RM314 Juta Hasil Kerajaan Belum Diserah MYEG, Zetrix Kepada MOT – Loke

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 8:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RM314 Juta Hasil Kerajaan Belum Diserah MYEG, Zetrix Kepada MOT – Loke

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM314 juta hasil kerajaan yang dikutip My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad belum diserahkan kepada Akaun Utama Hasil, Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, susulan kegagalan kedua-dua syarikat berkenaan menyerahkan hasil kutipan dalam tempoh ditetapkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memutuskan untuk menggantung perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen kutipan hasil JPJ berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, dakwaan bahawa JPJ dan MOT gagal mengambil tindakan terhadap perkara berkenaan selama tiga tahun adalah tidak tepat.

“Saya ingin menjelaskan beberapa laporan media yang mendakwa JPJ dan MOT gagal mengambil tindakan selama tiga tahun; itu tidak benar kerana angka tiga tahun tersebut tidak tepat.

“Tunggakan ini bermula pada Mei tahun ini, hanya beberapa bulan lalu. Memang sebelum ini terdapat tunggakan sekali-sekala, tetapi selepas kita mengeluarkan notis peringatan, mereka akan menyelesaikannya.

“Bagaimanapun, jumlah tidak dibayar sebanyak RM314 juta ini terkumpul bermula Mei tahun ini, hanya beberapa bulan lalu, bukannya selama tiga tahun,” katanya pada sidang media hari ini.

Dua hari lalu, JPJ menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad, yang berada di bawah Kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan hasil.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, termasuk status kewajipan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan. - Getaran, 5 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved