Moto E13 Dilancarkan – Sebuah Lagi Telefon Pintar Dengan Cip Unisoc T606

TechnologyDigital
26 Jan 2023 • 1:54 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Seiring pengenalan beberapa tambahan baharu, Moto E13 turut diperkenalkan secara rasmi sebagai sebuah lagi peranti bajet Motorola untuk tahun ini. Ia memuatkan pelbagai fungsi yang memfokuskan terhadap penggunaan harian dalam tubuh sebuah peranti dengan panel hadapan bertakuk kecil.

Beralih ke spesifikasi, skrin peranti adalah sebesar 6.5-inci sejenis LCD dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula standard. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Unisoc T606 sebagai tunjang utama, di samping memori sehingga 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Turut disertakan, sokongan ruang tambahan sehingan 1TB menerusi kad mikroSD.

image is not available

Selanjutnya, kamera utama 13MP dan swafoto 5MP digunakan sebagai pelengkap pada peranti ini. Kedua-duanya menyokong kebolehan kecerdasan buatan (AI) yang boleh bantu mengenali 10 muka manusia berbeza dalam satu bingkai gambar. Bukan itu sahaja, tangkapan juga menjadi lebih mudah menerusi ciri yang dinamakan sebagai Auto Smile Capture.

image is not available

Lain-lain spesifikasi termasuklah pembesar suara mono dengan Dolby Atmos, bicu audio 3.5mm dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 10W. Harga jualan untuk Moto E13 ialah EUR 119.99 (~RM556) dengan tiga pilihan warna seperti Cosmic Black, Aurora Green dan Creamy White yang disediakan.