
Yamaha Racing mengesahkan bahawa jentera baharu Moto3 yang bakal digunakan sebagai motosikal tunggal bermula musim 2028 bukan sekadar model produksi yang diubah suai, sebaliknya sebuah prototaip perlumbaan sebenar yang dibangunkan dari kosong. Walaupun menggunakan asas enjin Yamaha R7, hampir keseluruhan komponen telah direka khas bagi memenuhi keperluan perlumbaan.
Menurut Pengarah Urusan Yamaha Racing, Paolo Pavesio, satu-satunya komponen produksi yang dikekalkan hanyalah blok enjin, namun ia menerima pengubahsuaian besar termasuk penggunaan magnesium bagi mengurangkan berat, peningkatan kuasa melebihi 95 hp serta transmisi perlumbaan sepenuhnya. Malah, beliau menegaskan “tidak satu pun bolt” daripada jentera produksi Yamaha digunakan pada casis baharu itu.
Jentera tersebut disasarkan memiliki berat sekitar 120 kilogram, lebih pantas daripada Moto3 sedia ada, selain kos operasi hanya kira-kira separuh daripada jentera semasa. Menurut Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta, penggunaan satu pembekal akan memastikan semua pelumba bersaing dengan jentera yang sama, lebih sesuai untuk fizikal pelumba moden dan membantu mengurangkan kos perlumbaan.
Pembangunan motosikal itu dilakukan sepenuhnya oleh Yamaha menerusi gabungan jurutera muda dari Jepun dan Eropah, termasuk tenaga daripada projek MotoGP, WorldSBK serta pelajar universiti. Ujian pertama dijangka bermula sekitar September atau Oktober tahun ini.
Yamaha turut menjelaskan penyertaan mereka bukan bertujuan menjana keuntungan, sebaliknya memperkukuhkan pembangunan bakat muda dan mempromosikan sukan permotoran di pasaran yang sedang berkembang seperti Asia dan Amerika Selatan. Walaupun menjadi pembekal tunggal enjin dan jentera, Yamaha tetap mengalu-alukan penyertaan pengeluar lain menerusi casis masing-masing, sama seperti konsep yang digunakan dalam kategori Moto2.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Moto3 2028 : Yamaha Pertaruh Prototaip Tulen Untuk Era Baharu Moto3 appeared first on TW Media.
