Motocross cabar adrenalin Shamira

6 Sep 2026 • 11:12 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Motocross cabar adrenalin Shamira

MINAT terhadap sukan ekstrem yang sinonim dengan aksi dan cabaran fizikal menjadi pendorong buat Nor Shamira Nor Azahar untuk menceburi dunia motosikal lasak atau motocross sejak berusia 12 tahun.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, pada awalnya, dia sekadar mengikut jejak langkah bapanya, Nor Azahar Ismail yang juga merupakan seorang pelumba motocross.

Menurut wanita yang mesra disapa Shamira itu, minat terhadap sukan berkenaan semakin bercambah selepas melihat sendiri bapanya menempuh pelbagai cabaran ketika berlumba.

“Secara peribadi, saya memang seorang yang meminati sukan lasak dan apabila melihat ayah terlibat dalam perlumbaan, semangat itu menjadi semakin berkobar-kobar untuk mengikut jejak langkahnya.

“Demi menyokong minat saya menjadi pelumba motocross, ayah sanggup menjadi jurulatih sejak saya kecil hingga sekarang ini,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Bagi Shamira, motocross bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi ruang untuk menguji keberanian, ketahanan fizikal dan kemahiran mengendalikan jentera dalam keadaan mencabar.

Antara pengalaman paling bermakna buat Shamira sepanjang bergelumang dalam dunia sukan lasak itu adalah ketika meraih gelaran Fastest Woman Rider dalam perlumbaan Rimba Raid Asia di Lenggong, Perak untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2024 dan 2025.

Pencapaian itu menjadi antara detik yang sukar dilupakan oleh Shamira kerana bukan mudah untuk seorang pelumba wanita bersaing dalam perlumbaan yang menuntut kemahiran teknikal, ketahanan fizikal dan ketahanan mental.

Image from: Motocross cabar adrenalin Shamira
SHAMIRA berjaya meraih pelbagai gelaran dalam arena motocross sama ada di dalam dan luar negara.

Selain Rimba Raid Asia, Shamira turut membuktikan kemampuan dalam arena sukan permotoran apabila menduduki tempat kedua keseluruhan dalam MSF Supermoto 2024.

Dia juga pernah dicalonkan sebagai Pelumba Wanita Terbaik Malaysia 2024 oleh Motorsports Association of Malaysia (MAM), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelumba wanita yang aktif dalam sukan permotoran lasak.

Sementara itu, bagi memastikan kemahirannya sentiasa berada pada tahap terbaik, Shamira tidak mengambil mudah soal latihan.

Ujarnya, dia melakukan latihan secara berterusan terutama memperbanyakkan masa menunggang untuk membina keyakinan serta menguasai jentera.

“Bagi mengatasi rasa takut, kita perlu riding hours yang banyak dan latihan. Ia paling penting untuk mengukuhkan asas kemahiran menunggang.

“Menyertai pertandingan dengan kerap juga boleh mengasah kemahiran mengendalikan motosikal dan bersedia dengan sebarang cabaran,” katanya.

Selain menyertai perlumbaan, beberapa litar turut menjadi pilihan Shamira untuk mengasah kemahirannya seperti Bena Ria Motocross Track di Ipoh dan Kampung Sahom Motocross Track, Kampar.

Dalam pada itu, Shamira berkata, penglibatannya dalam sukan didominasi lelaki tersebut membawa misi tersendiri.

Katanya, dia mahu melihat lebih ramai wanita berani mencuba bidang berkenaan.

“Saya berharap dapat memupuk minat dalam kalangan wanita untuk menyertai sukan motocross.

“Jadi, saya perlu buktikan kepada masyarakat bahawa wanita juga mampu menceburi sukan lasak yang selama ini didominasi lelaki,” katanya.

The post Motocross cabar adrenalin Shamira appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved