MotoGP: Bagnaia Pecahkan Rekod Pusingan SIC, Duduk Petak Pertama

2 Nov 2024 • 12:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

MotoGP: Bagnaia Pecahkan Rekod Pusingan SIC, Duduk Petak Pertama

SEPANG, 2 November (Bernama) — Juara Dunia Francesco Bagnaia yang sekali lagi mencatatkan rekod baharu sepusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, akan memulakan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 esok, di petak pertama.

Pada pusingan kelayakan hari ini, pelumba Ducati Lenovo Team itu yang pada suatu ketika ketinggalan di tempat kedua di belakang pendahulu kejuaraan semasa Jorge Martin dari Prima Pramac Racing, berjaya memecahkan rekod sepusingan yang dicatatkannya tahun lepas iaitu 1 minit 57.491 saat (s) pada pusingan terakhir, dengan catatan masa baharu 1:56.337s.

Martin yang akan memulakan perlumbaan esok di petak kedua selepas mencatatkan masa 1:56.553s, disertai Alex Marquez daripada Gresini Racing MotoGP (1:57.275s) bagi melengkapkan grid hadapan.

Selain perlumbaan sebenar esok, keputusan hari ini menyaksikan semua pelumba menetapkan kedudukan mereka di grid untuk perlumbaan pecut yang dijadualkan diadakan petang hari ini.

Perlumbaan pecut yang diperkenalkan buat pertama kali dalam kelas perdana musim lepas, melibatkan separuh daripada jumlah pusingan berbanding perlumbaan sebenar esok.

Ia juga memberikan mata kejuaraan berlainan daripada perlumbaan sebenar, dengan 12 mata kepada pemenang dan berkurangan satu mata bagi setiap kedudukan akhir untuk sembilan pelumba terpantas.

Sumber: Bernama