
PHILLIP ISLAND – Juara dunia MotoGP tujuh kali, Marc Marquez mengakui sedia mempertimbangkan persaraannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus membayangkan Ducati mungkin menjadi pasukan terakhir dalam kariernya.
Pelumba Sepanyol berusia 33 tahun itu berkata, kejayaan merangkul gelaran dunia pada 2025 mengubah perspektifnya terhadap perlumbaan selepas bergelut dengan kecederaan serius.
“Jika saya perlu memberikan angka, saya fikir terdapat 70 peratus kemungkinan untuk saya bersara dalam tempoh tiga tahun dan 30 peratus kemungkinan saya masih berlumba,” katanya.
Marquez yang terikat kontrak dengan Ducati sehingga penghujung 2028 berkata, kejayaan tahun lalu memberikannya ketenangan selepas menamatkan penantian enam tahun untuk kembali bergelar juara dunia kelas premier.
Kejayaan itu juga membantunya menerima keputusan perlumbaan yang kurang memuaskan, sesuatu yang sebelum ini sukar dilakukan ketika dia sentiasa memburu kemenangan.
“Disebabkan gelaran tahun lalu, saya kini berasa tenang dan lebih santai. Sama ada saya memenangi satu lagi kejuaraan atau tidak, ia tidak lagi mengubah apa-apa bagi saya. Apabila bersara nanti, saya mahu berdamai dengan diri sendiri,” katanya.
Marquez mengalami kecederaan serius pada lengan kanan ketika GP Sepanyol di Jerez pada 2020 yang memaksanya menjalani beberapa pembedahan serta tempoh pemulihan panjang sebelum kembali ke tahap terbaik.
Ketika ini, Marquez masih memburu kejuaraan dunia 2026 apabila hanya ketinggalan dua mata di belakang Jorge Martín menjelang GP Australia di Phillip Island, sekali gus membuktikan semangat persaingannya masih belum pudar. – AGENSI
The post MotoGP: Marquez mula beri petanda appeared first on Kosmo Online.



