
LONDON – Bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez dituntut mengatur strategi bagi mengekang kebangkitan jentera Aprilia dalam baki lima pusingan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Pandangan itu disuarakan adiknya yang juga pelumba Gresini Racing, Alex Marquez yang menyifatkan perebutan takhta dunia antara abangnya dan pendahulu semasa, Jorge Martin kini memasuki fasa paling kritikal.
Marquez ketika ini mengekori rapat Martin di kedudukan kedua carta kejuaraan dengan hanya dipisahkan jurang tipis dua mata selepas kedua-duanya mengutip mata seimbang (22 mata) pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Mandalika, hujung minggu lalu.
Biarpun litar Mandalika sebelum ini dianggap sukar buat jentera Desmosedici GP, Marquez membuktikan kepakarannya apabila memenangi perlumbaan pecut sebelum menamatkan perlumbaan utama di tempat keenam untuk terus memberi tekanan kepada Martin.
Bagaimanapun, Alex memberi amaran bahawa cabaran lebih getir menanti abangnya di tiga litar iaitu GP Australia di Phillip Island, GP Qatar (Lusail) dan GP Portugal (Portimao) yang dilihat lebih memihak kepada kelebihan teknikal jentera Aprilia.
“Marc berjaya ‘menyelamatkan diri’ di litar sukar seperti Mandalika dan keluar meneruskan pemburuan kejuaraan. Saingan kini menuju ke litar seperti Australia, Qatar dan Portimao di mana jentera Aprilia berupaya beraksi dengan sangat cemerlang. Di sinilah Marc perlu mengeluarkan segala-galanya,” kata Alex.
Daripada baki lima pusingan termasuk di Sepang (Malaysia) dan Valencia (Sepanyol), Portimao merupakan satu-satunya litar yang belum pernah dimenangi oleh juara dunia sembilan kali itu sepanjang kariernya.
Menyentuh mengenai kemungkinan Aprilia menggunakan strategi arahan pasukan membabitkan Marco Bezzecchi dan pelumba satelit bagi membantu Martin, Alex tidak menolak Ducati juga bakal mengambil langkah sama apabila tiba waktu yang sesuai. – AGENSI
The post MotoGP: Peluang Marquez sekat Jorge Martin appeared first on Kosmo Online.



