MotoGP pertimbang had bajet seperti F1

13 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MotoGP pertimbang had bajet seperti F1

LONDON: MotoGP sedang mempertimbangkan pengenalan had bajet seperti yang dilaksanakan dalam Formula 1 (F1) bagi membantu mengawal perbelanjaan pengeluar dalam kejuaraan dunia itu.

Pengarah Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta berkata, cadangan berkenaan perlu dikaji secara terperinci meskipun terdapat perbezaan ketara dari segi struktur dan latar belakang setiap pengeluar.

“Ini adalah matlamat yang sangat bercita-cita tinggi kerana pengeluar MotoGP datang daripada syarikat, latar belakang dan struktur organisasi yang berbeza.

“Ia perlu dikaji, tetapi jika ada kemahuan, pasti ada jalan,” katanya.

Menurut Ezpeleta, cadangan had bajet bukan disebabkan MotoGP berdepan masalah dari segi persaingan di litar, sebaliknya bertujuan memastikan kelangsungan serta kestabilan kewangan pengeluar.

“Ia diperlukan atas beberapa sebab. Kami tidak mempunyai masalah di atas litar. Perkara itu sangat penting untuk ditekankan.

“Sekarang anda dapat melihat beberapa pengeluar berjaya mengatasi pengeluar yang mempunyai bajet lebih besar,” katanya.

Ezpeleta berkata, situasi itu membuktikan kejayaan dalam MotoGP tidak semestinya bergantung kepada jumlah wang yang dibelanjakan.

Malah, prestasi mengejutkan Aprilia musim ini menjadi contoh bahawa pengeluar dengan bajet lebih besar tidak semestinya mendominasi persaingan.

“Apa yang saya fikir penting ialah kita perlu membina rasional mengenai bagaimana dan mengapa kita mahu melakukan perkara ini.

“Kita mempunyai satu peluang di hadapan kita. Saya percaya sesetengah pengeluar mempunyai ruang yang besar untuk mengurangkan bajet mereka,” katanya.

Had bajet seperti yang diperkenalkan dalam F1 pada 2021 meliputi sebahagian besar aspek pembangunan dan prestasi jentera, termasuk gaji kakitangan manakala gaji pemandu, tiga kakitangan dengan bayaran tertinggi, pemasaran dan perjalanan dikecualikan.

Sistem berkenaan dipantau menerusi audit kewangan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan dianggap membantu menarik pengeluar baharu selain membolehkan pasukan sedia ada mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan pembangunan. – AGENSI

The post MotoGP pertimbang had bajet seperti F1 appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved