
Usaha mencungkil bakat akar umbi sukan permotoran negara terus menunjukkan hasil positif apabila sesi pemilihan MotoMini Malaysia 2026 berjaya mengenal pasti barisan pelumba muda berpotensi tinggi, sekali gus menandakan permulaan serius pembangunan pelumba peringkat awal negara.
Sesi pemilihan yang berlangsung di Litar Horizon Beranang Circuit pada 17 Januari lalu menyaksikan seramai 45 calon mendaftar secara dalam talian sebelum 12 pelumba berusia antara 9 hingga 14 tahun disenarai pendek untuk sesi akhir, termasuk penyertaan dua pelumba wanita merupakan satu perkembangan memberangsangkan buat landskap sukan dua roda tanah air.
Fokus utama program ini adalah mencari bakat baharu bagi dua kategori utama iaitu SIC Ohvale Junior Championship (7–11 tahun) dan MotoMini 160 (10–14 tahun). Peserta hadir dari pelbagai negeri dengan Selangor mendominasi penyertaan, diikuti Pahang, Kuala Lumpur dan Perak.
Sepanjang sesi yang berlangsung dari pagi hingga petang dalam keadaan cuaca baik, para peserta menjalani ujian kecergasan fizikal dan penilaian kemahiran menunggang. Kesemua aspek dinilai secara teliti di bawah pemantauan Pengurus Kejohanan, Zulfahmi Khairuddin, bersama Jurulatih SIC Racing dari Sepanyol, Sergio Mora, yang memastikan piawaian antarabangsa diterapkan sejak peringkat awal.
Hasilnya, tiga pelumba terpilih untuk kategori MotoMini 160, manakala empat pelumba mengesahkan tempat dalam SIC Ohvale Junior Championship. Turut mencuri tumpuan ialah pemilihan pelumba wanita muda berbakat, Wan Adra Mikayla, 11 tahun, yang membuktikan potensi besar wanita dalam arena perlumbaan litar.
Musim MotoMini Malaysia 2026 dijadual membuka tirai pada pertengahan April 2026, dengan pusingan pertama berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang, pentas penting buat pelumba muda mengasah bakat dan mencipta nama.
Pelumba Terpilih MotoMini 160
- Ariff Rayyan Bin Yunus (11) – Kuala Lumpur
- Aisy Wafiy Bin Amir Azaruddin (13) – Pahang
- Muhammad Arsyad Bin Mohd Rashid (13) – Selangor
Pelumba Terpilih SIC Ohvale Junior Championship
- Akmal Aiman Bin Ameer Ali (9) – Selangor
- Ayden Hafreez Bin Abdul Hafiz (10) – Selangor
- Rayyan Mikael (10) – Pahang
- Wan Adra Mikayla (11) – Selangor
Dengan struktur pembangunan yang semakin tersusun dan sokongan teknikal bertaraf antarabangsa, MotoMini Malaysia terus menjadi platform penting melahirkan pelumba elit masa depan negara. Permulaan kecil, impian besar dan 2026 bakal menjadi saksi kepada lahirnya bintang baharu di litar.














The post MotoMini Malaysia 2026: Generasi Pelumba Baharu Negara Mula Dicorak di Beranang appeared first on TW Media.


