MotoPlex Johor Bahru, Kedai Motosikal Premium Konsep Dinamik

22 Jul 2023 • 6:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MotoPlex membolehkan anda mencuci mata dengan rangkaian jentera roda dua jenama premium - gambar MotoPlex Johor

Warga Johor terutamanya penduduk sekitar Johor Bahru yang berhasrat untuk membeli atau mengintai motosikal baharu, apa kata anda singgah dan cuci mata dahulu ke MotoPlex Johor Bahru yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Di bawah pengedar motosikal rasmi Didi Group, pembukaan premis ini memperluaskan lagi lokasi cawangan bagi penempatan motosikal premium model Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi. MotoPlex Johor Bahru merupakan lokasi pertama yang menawarkan empat jenama premium tersebut di Johor.

Dibentuk sebagai kedai konsep dinamik, kompleks di Johor Bahru ini membawa pelbagai produk serta pusat perkhidmatan pelanggan untuk menjadikan lokasi ini sebagai destinasi wajib singgah bagi peminat dan penunggang kenderaan dua roda itu.

image is not available
MotoPlex memiliki kawasan pameran seluas 2,700 kaki persegi - gambar MotoPlex Johor

MotoPlex Johor Bahru adalah premis kedua di Malaysia yang diurus oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd bersama pengedar rasmi di bawah lantikan Didi Group khas untuk empat jenama motosikal berkenaan.

Direka dengan estetika Itali secara keseluruhan, ruang MotoPlex memiliki keluasan 4,000 kaki persegi yang dipecahkan kepada 2,700 kaki persegi sebagai kawasan pameran dan 1,300 kaki persegi untuk pusat perkhidmatan.

image is not available
Pelbagai produk turut dijual di MotoPlex Johor - gambar MotoPlex Johor

MotoPlex juga direka sebagai pusat perkhidmatan lengkap dengan alat diagnostik canggih yang dikendalikan oleh juruteknik dan mekanik motosikal terlatih serta komited dalam menawarkan perkhidmatan mantap kepada pelanggan, termasuk akses kepada pelbagai alat ganti berkualiti tinggi.

image is not available
Pembukaan cawangan di Johor membantu MotoPlex mengukuhkan kedudukan di Malaysia - gambar MotoPlex Johor

Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo menekankan bahawa pembukaan MotoPlex membantu mereka untuk memperkukuhkan posisi di Malaysia, memandangkan MotoPlex adalah rumah jenama ikonik Piaggio.

“Kami telah melihat kejayaan besar dengan konsep MotoPlex dengan pelancaran MotoPlex Petaling Jaya dan MotoPlex Butterworth. Sejak itu, kami telah mencari masa yang tepat untuk memperkenalkan konsep MotoPlex di seluruh negara.

image is not available
Orang ramai dijemput mencuci mata di MotoPlex Johor - gambar MotoPlex Johor

“Pengalaman runcit automotif satu henti ini amat sesuai dengan selera individu berpendapatan tinggi. Kami sangat bangga dapat mempamerkan semua jenama premium Kumpulan Piaggio, termasuk Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi, di bawah satu bumbung di MotoPlex Johor Bahru,” jelasnya.

Jadi kepada peminat kenderaan motosikal di Johor, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Motoplex Johor Bahru. Mana tahu ada model yang berminat di hati, anda dialu-alukan untuk membuat perbincangan tersebut bersama petugas di sana. - Getaran, 22 Julai 2023