Motosikal sendiri terbakar selepas khianat bakar dua kereta

LocalPolitics
24 Aug 2025 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rakaman CCTV menunjukkan kelibat suspek menyimbah cecair sebelum kenderaan itu terbakar.

image is not available
Dua buah kereta yang diletakkan di garaj rumah musnah terbakar dipercayai perbuatan khianat.

MELAKA – Seorang lelaki nyaris rentung selepas motosikal yang ditungganginya turut disambar api sejurus membakar dua buah kereta di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Permai di sini dalam kejadian pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.38 tengah hari itu tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibat suspek yang dipercayai bertindak membakar kenderaan terbabit sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah yang juga seorang anggota polis, Mohamad Idris Mokhtar di Balai Polis Kandang pada jam 2.29 petang hari sama.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Axia yang diletakkan di garaj rumah tersebut musnah terbakar, manakala sebuah motosikal jenis SYM ditemui hangus di tengah jalan berhampiran lokasi kejadian.

**media[3248468]**

“Motosikal yang terbakar dipercayai milik suspek dan ditinggalkan di lokasi. Tiada saksi bebas ditemui ketika kejadian berlaku, namun beberapa rakaman CCTV dari rumah mangsa sedang diteliti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengenal pasti motif kejadian serta usaha mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.