MoU Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama luar bandar dalam lapan bidang

17 Sep 2026 • 6:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MoU Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama luar bandar dalam lapan bidang

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan lapan bidang utama, termasuk pendigitalan, keusahawanan, eko-pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembasmian kemiskinan.

MoU berkenaan ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak Kerajaan Malaysia, manakala Kerajaan Indonesia diwakili Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal, Yandri Susanto.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam pembangunan luar bandar, termasuk aspek pembangunan kapasiti, digitalisasi, pembangunan sosioekonomi serta usaha pembasmian kemiskinan.

Lapan bidang yang dipersetujui meliputi pembangunan kapasiti dalam pengurusan desa bagi pegawai kerajaan dan komuniti luar bandar; pendigitalan untuk kemajuan luar bandar menerusi promosi konsep desa pintar yang inklusif; serta keusahawanan luar bandar dan pembangunan perusahaan desa bagi meningkatkan kapasiti serta potensi komersial usahawan luar bandar dan koperasi.

Bidang lain ialah eko-pelancongan dan agro-pelancongan dengan memanfaatkan warisan budaya bersama serta biodiversiti semula jadi; pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia luar bandar; pembasmian kemiskinan melalui perkongsian amalan terbaik dan pembangunan program bersama.

Turut dipersetujui program ‘Sister Village’ melibatkan pertukaran amalan terbaik, budaya dan peluang ekonomi; serta bidang kerjasama lain berkaitan pembangunan luar bandar yang dipersetujui kedua-dua negara dari semasa ke semasa.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Ahmad Zahid berkata, beliau mengundang Susanto, untuk berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan luar bandar negara.

“Insya-Allah mungkin ini akan sama-sama kita berkongsi, mempelajari sesuatu yang baik demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk-penduduk di pedesaan,” katanya.

Sementara itu, Susanto berkata, kerjasama lapan bidang antara Malaysia dan Indonesia itu akan diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar di lapangan melalui pembentukan pasukan kerja yang dianggotai pegawai teknikal kedua-dua negara.

Katanya, pasukan berkenaan akan membabitkan kedua-dua kementerian untuk membincangkan aspek teknikal dan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan.

“Daripada lapan unsur yang dikerjasamakan itu, tentu juga akan diikuti dengan perjanjian kerjasama. Jadi nanti sektor sebenar dan teknikal di lapangan akan dibincangkan sehingga pelaksanaannya boleh dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN

The post MoU Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama luar bandar dalam lapan bidang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved