Filem Street Fighter kini kembali ke layar lebar serta menghidupkan kembali dunia pertarungan yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat permainan video sejak era 1990-an. Diarahkan oleh Kitao Sakurai, filem aksi seni mempertahankan diri ini membawa watak-watak ikonik daripada permainan video keluaran Capcom ke layar perak menerusi gabungan aksi fizikal, persaingan, humor dan nostalgia.
Street Fighter mempunyai sejarah panjang sebagai francais permainan video pertarungan yang diperkenalkan oleh Capcom pada 1987. Popularitinya berkembang menerusi watak-watak seperti Ryu, Ken Masters dan Chun-Li yang masing-masing mempunyai latar belakang, kemahiran bertarung serta prinsip tersendiri. Kejayaan francais ini turut melahirkan filem aksi pertamanya pada 1994. Filem itu kemudianya menjadi cult film buat peminat-peminatnya di seluruh dunia.
Versi 2026 pula mengambil pendekatan baharu dengan menggabungkan watak-watak popular dalam sebuah cerita yang berlatarbelakangkan tahun 1993. Naratifnya berpusat pada Ryu dan Ken, dua petarung yang pernah mempunyai hubungan rapat tetapi kemudiannya membawa haluan masing-masing. Kehidupan mereka berubah apabila Chun-Li muncul untuk merekrut kedua-duanya untuk menyertai kejohanan World Warrior Tournament.
Namun, kejohanan tersebut bukan sekadar medan untuk menentukan siapa petarung paling heba tetapi terdapat konspirasi berbahaya yang menguji kepercayaan, persahabatan dan masa silam para petarung. Mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan lawan yang mempunyai kekuatan luar biasa, malah terpaksa membuat keputusan yang bakal menentukan nasib mereka sendiri.


Konflik utama filem ini berkembang melalui penyertaan Ryu dan Ken dalam kejohanan tersebut yang mempertemukan pelbagai peserta dengan gaya pertarungan berbeza. Ryu digambarkan sebagai petarung yang serius terhadap seni mempertahankan diri manakala Ken membawa personaliti yang lebih lantang dan penuh keyakinan. Perbezaan sikap mereka memberikan ruang kepada persaingan serta unsur humor dalam cerita.
Kehadiran Chun-Li pula menjadi pemangkin kepada perkembangan naratif. Sementara itu, M. Bison muncul sebagai antagonis utama yang mengancam keselamatan para petarung. Filem ini turut menampilkan Blanka, Guile, Akuma dan Balrog sekali gus memperluas skala konflik. Walau bagaimanapun, jumlah watak yang ramai menyebabkan tumpuan cerita kadangkala tidak fokus sedangkan hubungan antara watak utama memerlukan perkembangan yang lebih mendalam.
Antara pelakon utama ialah Andrew Koji sebagai Ryu, Noah Centineo sebagai Ken Masters dan Callina Liang sebagai Chun-Li. David Dastmalchian memegang watak M. Bison, manakala Jason Momoa tampil sebagai Blanka. Cody Rhodes pula membawa watak Guile, sementara Curtis “50 Cent” Jackson memainkan Balrog. Kehadiran pelakon yang mempunyai latar belakang seni mempertahankan diri dan gusti memberikan filem ini daya tarikan tersendiri. Adegan pertarungan menjadi antara elemen yang berpotensi menarik perhatian penonton, khususnya peminat setia permainan video tersebut
Secara keseluruhannya, Street Fighter merupakan usaha menghidupkan semula francais permainan video popular melalui filem aksi yang sarat dengan nostalgia. Kekuatan utamanya terletak pada kepelbagaian watak, reka bentuk kostum dan usaha mengekalkan identiti permainan asal. Namun, jalan cerita yang agak berserabut serta kemunculan terlalu banyak watak telah mengurangkan kesan dramatik yang sepatutnya menjadi nadi filem ini.
Sungguhpun demikian filem ini berjaya mengubat kerinduan semua peminat sejati yang mahu melihat watak kegemaran mereka kembali beraksi di layar perak. Street Fighter tetap berjaya mengembalikan nostalgia lama buat peminat tegar permainan video pertarungan paling ikonik dalam sejarah.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.


