
USAI Munafik mencetuskan fenomena dalam industri perfileman tempatan, naskhah seram keagamaan arahan Syamsul Yusof itu kembali menghantui layar perak, kali ini menerusi sentuhan pembikin filem Indonesia berjudul Munafik: Melawan Iblis.
Diarahkan Guntur Soeharjanto, filem seram tersebut tidak sekadar sebuah pembikinan semula yang menukar barisan pelakon, sebaliknya cuba memberikan identiti berbeza menerusi pendekatan penceritaan, latar budaya dan permainan emosi yang lebih dekat dengan cita rasa penonton Indonesia.
Namun, persoalan paling besar tentunya sejauh mana keberanian Guntur mengolah karya tersebut sehingga mampu memberikan pengalaman baharu tanpa mengorbankan kekuatan utama yang menjadikan Munafik versi 2016 begitu berkesan.
Keseluruhan, naskhah berkenaan masih mempertahankan elemen asas yang cukup sinonim dengan francais asal iaitu pertarungan keimanan dan gangguan iblis, berbalut konflik peribadi, misteri serta sisi gelap manusia yang berselindung di sebalik imej keagamaan.
Acha MVP
Jika terdapat satu kekuatan paling ketara dalam Munafik: Melawan Iblis, aspek lakonan wajar diberikan perhatian, khususnya persembahan Acha Septriasa yang membawa watak Fitri dengan intensiti cukup meyakinkan.
Acha memperlihatkan komitmen menerusi perubahan ekspresi wajah, pergerakan tubuh dan permainan emosi ketika wataknya berada dalam keadaan tidak terkawal, sekali gus menjadikan babak kerasukan antara momen paling mencengkam. Boleh dikatakan dialah MVP ‘si penyelamat’ naskhah berkenaan.
Menariknya, persembahan tersebut tidak hanya bergantung kepada jeritan atau aksi fizikal keterlaluan, sebaliknya turut memanfaatkan bahasa tubuh dan perubahan perlakuan bagi membangkitkan rasa tidak selesa dalam kalangan penonton.
Arya Saloka pula memberikan interpretasi berbeza terhadap Ustaz Adam, watak yang cukup sinonim dengan Syamsul Yusof dalam filem asal, dengan menampilkan sisi lebih rapuh, pendiam dan sarat pergolakan emosi.
Bagaimanapun, perbandingan antara kedua-dua pelakon sukar dielakkan kerana Syamsul memiliki kelebihan dari segi intensiti serta karakter yang sudah sebati dengan identiti Munafik, sedangkan Arya memilih pendekatan lebih terkawal dalam menzahirkan penderitaan wataknya.
Dari sudut pengarahan, Guntur ternyata memahami formula filem seram Indonesia dengan memberikan penekanan terhadap suasana suram, permainan cahaya, reka bentuk bunyi dan kejutan visual untuk memastikan penonton sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati.
Beberapa babak gangguan berjaya membina ketegangan melalui suasana yang tidak menyenangkan, terutama apabila ancaman ghaib hadir secara perlahan sebelum berkembang menjadi situasi lebih agresif.
Jump scare kerap
Namun, penggunaan kejutan atau jump scare yang agak kerap berisiko mengurangkan impak ketakutan kerana penonton akhirnya boleh menjangkakan kemunculan gangguan berdasarkan perubahan muzik dan tempo sesuatu adegan.
Hakikatnya, kekuatan filem seram bukan semata-mata terletak pada kemampuan membuatkan penonton terkejut, tetapi bagaimana rasa takut terus menghantui fikiran walaupun sesuatu babak sudah berakhir.
Dalam konteks tersebut, Munafik versi asal mempunyai kelebihan tersendiri apabila elemen seram diperkukuh konflik keagamaan dan persoalan moral, sedangkan adaptasi Indonesia lebih cenderung menonjolkan misteri serta pengalaman seram secara langsung.
Kelemahan paling ketara bagaimanapun terletak pada perkembangan skrip yang semakin sarat dengan konflik apabila penceritaan menghampiri penghujung, seolah-olah terlalu banyak persoalan mahu diselesaikan dalam ruang masa yang terhad.
Percubaan memperkenalkan pelbagai rahsia, hubungan antara watak dan kejutan cerita sememang membantu mengekalkan elemen misteri, namun pada masa sama menyebabkan sebahagian konflik emosi yang dibina sejak awal kehilangan momentum.
Watak sampingan yang berpotensi memberikan dimensi lebih mendalam kepada naratif juga tidak semuanya menerima ruang mencukupi, sekali gus menjadikan beberapa perkembangan cerita terasa lebih berfungsi untuk menggerakkan plot berbanding memperkukuh hubungan emosi dengan penonton.
Lebih mengecewakan, persoalan mengenai kemunafikan manusia yang sepatutnya menjadi tunjang kepada judul Munafik tidak diteroka sedalam potensinya, sedangkan tema tersebut mampu memberikan lapisan psikologi dan kritikan sosial yang lebih tajam.
Itu pendapat peribadi penulis. Lain orang, lain pandangan dilontarkan. Kendatipun, Munafik: Melawan Iblis tetap sebuah karya seram keagamaan yang mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya menerusi persembahan Acha Septriasa dan usaha memberikan wajah baharu kepada sebuah karya popular.
The post Munafik dari Seberang ‘sesat’ cari jalan appeared first on Kosmo Online.





