
SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan empat notis hasil pemeriksaan beberapa premis menerusi Operasi Bersepadu Pemantauan Pencemaran Sungai di sekitar Sijangkang, Telok Panglima Garang.
Operasi 27 Julai lalu dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi memastikan premis di kawasan terbabit mematuhi undang-undang, syarat pelesenan serta peraturan alam sekitar ditetapkan.
MPKL memaklumkan operasi bersepadu itu turut membabitkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP), Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan MPKL.
Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1 Mohd Safiee Harun turut hadir dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di beberapa premis, MPKL mengeluarkan empat notis mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MDKL 2007 serta Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MDKL 2007,” menurut MPKL menerusi Facebook.
Pada masa sama, JAS dan LUAS turut mengambil tindakan susulan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Menurut MPKL, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan premis di daerah Kuala Langat sentiasa mematuhi syarat ditetapkan.
Langkah itu juga bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar di daerah berkenaan.
“Kerjasama strategik bersama JAS dan LUAS akan terus diperkukuh dalam menangani isu pencemaran alam sekitar serta memastikan kesejahteraan, keselesaan dan kualiti persekitaran penduduk daerah Kuala Langat,” menurut kenyataan itu lagi.






