
Kota Kinabalu: Sabah melengkapkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan membelasah ATM 6-0 di Stadium Futsal Yayasan Sabah di sini, pada Ahad lalu.
Mereka sebelum ini menewaskan pasukan Kedah 4-2 dan KPT Mustang 2-1 dalam dua perlawanan terdahulu selepas kekalahan memalukan 1-9 kepada Pahang Rangers pada aksi pembukaan musim.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), David Wisom menggesa pemain-pemain mengekalkan momentum mereka dalam perlawanan akan datang.
“Kemenangan ketiga berturut-turut ini membuktikan bahawa para pemain telah meraih kembali keyakinan mereka. Mereka mesti meletakkan kekalahan pada aksi pembuka musim di belakang dan mengekalkan momentum kemenangan mereka mulai sekarang,” katanya.
Perlawanan Sabah yang seterusnya adalah di tempat lawan menentang Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri pada 29 April diikuti Pulau Pinang di laman sendiri pada 7 Mei.
Sementara itu, perlawanan persahabatan empat penjuru membabitkan Sabah FA, Selangor Tot United, Kelab Futsal Almerez dari Brunei dan Kelab Futsal KK City akan diadakan di sini dari 9-11 malam, 14-16 April semasa tempoh rehat seketika.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



