
Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 255 kompaun dan menyita 143 gerai dalam operasi membanteras penjaja tanpa lesen sepanjang bulan ini, maklum yang dipertuanya.
Noraini Roslan berkata operasi penguatkuasaan itu membabitkan 80 penjaja tempatan dan 63 warga asing.
“MPK telah melaksanakan operasi penguatkuasaan membabitkan pemeriksaan premis perniagaan termasuk tempat letak kereta persendirian, pusat siber, premis perniagaan menjual arak, cuci kenderaan, menjual kenderaan terpakai dan pusat kecantikan sepanjang bulan ini.
“Menerusi operasi ini juga sebanyak 17,731 iklan haram diturunkan di sekitar kawasan pentadbiran kita sepanjang tahun ini,” katanya ketika mempengerusi mesyuarat penuh bulanan MPK hari ini.
Mengulas lanjut Noraini berkata pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun selain menyita 10 premis hiburan atas pelbagai kesalahan di bawah kesalahan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (pindaan 2001).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan MPK bakal menganjurkan pertandingan gasing pangkah selama dua hari bermula 16 Julai depan.
Dijadual berlangsung di Kampung Bukit Kapar, pertandingan itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Gasing Pangkah Tradisional Selangor sekali gus mempromosi permainan gasing pangkah sebagai produk pelancongan Klang.
The post MPK keluar 255 kompaun, sita 143 penjaja tiada lesen sepanjang bulan ini appeared first on Selangorkini.
