
SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menganjurkan Pertandingan Tiktok video bertemakan kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut MPKj video yang dihasilkan mestilah dirakamkan di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Pertandingan ini dibuka kepada semua pihak dan kesemua peserta wajib mengikuti akaun Tiktok @MPKajang.
“Selain itu, video yang dihasilkan tidak boleh melebihi 60 saat dan ia bebas sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau loghat tempatan,” kongsi MPKj di Facebook.
MPKj berkata video terbabit juga mestilah karya asal, tidak menyentuh unsur-unsur sensitif dan akaun Tiktok peserta hendaklah sentiasa dalam tetapan umum.
Orang ramai yang berminat menyertai pertandingan ini dikehendaki mengimbas kod-QR untuk setiap penyertaan dan melengkapkan borang penyertaan yang disediakan.
“Video yang ingin dipertandingkan perlu dimuat naik ke akaun peribadi peserta dan wajib memasukkan tanda pagar (Hashtag) #Kemerdekaan@MPKj dan ‘ tag ’ Tiktok @MPKajang,” katanya.
Sementara itu, sebarang pertanyaan boleh dihantar terus ke telegram @MPKajang dan video boleh dihantar mulai 15 Ogos hingga 31 Ogos ini sebelum jam 12 malam.

The post MPKj anjur pertandingan video Tiktok sempena Hari Kebangsaan appeared first on Selangorkini.


