MPKj Sahkan Flat Haram Di Hulu Langat Tiada Kelulusan, Sudah Keluarkan Notis

10 Jun 2026 • 9:00 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: MPKj Sahkan Flat Haram Di Hulu Langat Tiada Kelulusan, Sudah Keluarkan Notis

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial isu mengenai pembinaan flat haram empat tingkat yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Isu terbabit nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz sebaik ia dikongsikan oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin ketika menjalani penggambaran di lokasi berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat: Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Tanpa Kelulusan – ADUN Dusun Tua [Video]

MPKj Dedah Sebahagian Penempatan Dibina Atas Tanah Kerajaan

Susulan itu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis terhadap struktur binaan terbabit yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas MPKj, hasil semakan mendapati pembinaan itu melibatkan Lot 217, Lot 218 dan sebahagian tanah kerajaan (rezab sungai) bersebelahan Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat.

Terang mereka lagi, tapak tersebut telah dizonkan untuk kegunaan perumahan berdasarkan Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035 (Pengubahan 2).

“Selain itu, tiada sebarang permohonan yang dikemukakan melalui Sistem One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus Online MPKj yang membabitkan Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur dan Pelan Bangunan bagi apa-apa pembinaan di kawasan itu.

“Secara ringkasnya, pembinaan bangunan di lokasi tersebut dijalankan tanpa kelulusan MPKj,” katanya.

MPKj Telah Jalankan Operasi Penguatkuasaan & Keluarkan Notis Serta Arahan

Tambah MPKj, pihaknya telahpun menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan termasuk mengeluarkan notis serta arahan berdasarkan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Pada masa yang sama, MPKj turut menyertai lawatan ke kawasan aduan berkenaan di bawah kendalian Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) dan akan mengambil tindakan selanjutnya mengikut arahan yang diputuskan.

“Di samping itu, MPKj ingin menegaskan bahawa MPKj sentiasa bersama-sama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang dalam kawasan pentadbiran MPKj,” ujarnya.

MPKj dalam kenyataan tersebut turut menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan semua pihak berhubung isu berkenaan.

MPKj Rupanya Pernah Keluarkan Notis Roboh Pada Tahun 2020

Memetik Sinar Harian, MPKj pernah mengeluarkan notis perobohan bangunan yang dikaitkan dengan pelarian UNHCR sekitar enam tahun lalu.

Pemakluman itu pernah dibuat oleh MPKj pada tahun 2020 dalam satu hantaran di media sosial rasmi mereka.

Berdasarkan hantaran pada 24 Disember 2020, MPKj telah mengarahkan pemilik lot atau penguasaha rumah sewa komuniti berkenaan untuk mengambil tindakan serta mengosongkan kediaman terbabit dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh tersebut.

Merujuk kepada notis yang dikeluarkan, tindakan terbabit dikenakan kerana penempatan tersebut berada di rizab sungai dan dibina tanpa kelulusan pihaknya.

Baca Artikel Berkaitan: Ketibaan Ratusan Pelarian Rohingya Tidak Diterima Penduduk Aceh

Baca Artikel Berkaitan: Tidak Makan 5 hari, 59 Warga Rohingya Terkandas Di Thailand Semasa Menuju Ke Malaysia