MPKS kompaun pemaju RM125,000, gagal adakan AGM pertama

23 Jun 2026 • 8:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MPKS kompaun pemaju RM125,000, gagal adakan AGM pertama

SHAH ALAM, 23 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengenakan tindakan kompaun RM125,000 kepada sebuah syarikat pemaju strata di Puncak Alam akibat gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama Perbadanan Pengurusan (MC).

MPKS melalui kenyataan di Facebook memaklumkan, tindakan melalui Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) itu dibuat selepas siasatan pada 4 Jun lalu mendapati pemindahan hak milik petak telah mencapai 25 peratus daripada keseluruhan syer agregat.

“Namun pihak pemaju masih gagal melaksanakan kewajipan untuk mengadakan mesyuarat tersebut walaupun beberapa notis dan peringatan telah dikeluarkan oleh COB MPKS.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kertas siasatan telah mendapat izin kompaun daripada Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan kompaun dikenakan di bawah Seksyen 57(2), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) serta Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MPKS komited dalam memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan strata serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi undang-undang.

Menurut Seksyen 17(3) dibawah Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), pengurusan bangunan perlu terus beralih kepada penubuhan MC sebaik sahaja 25 peratus daripada pemilikan strata telah dipindah milik kepada pembeli.

Selain itu, pemaju juga wajib mengadakan mesyuarat AGM pertama untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam tempoh setahun selepas penyerahan milikan kosong kepada pembeli.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved