MPM kesal persembahan yang menyentuh Rukun Negara bercanggah nilai kesopanan dan kesusilaan

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 12:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MPM kesal persembahan yang menyentuh Rukun Negara bercanggah nilai kesopanan dan kesusilaan

MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) menyatakan rasa kesal dan dukacita berhubung penyebaran sebuah video di laman Facebook yang memaparkan satu persembahan teater atau sketsa yang menyentuh Rukun Negara serta dicampuradukkan dengan perkataan dan ungkapan yang bersifat provokatif, di samping adegan yang dilihat tidak selari dengan nilai serta budaya masyarakat Malaysia.

Image from: MPM kesal persembahan yang menyentuh Rukun Negara bercanggah nilai kesopanan dan kesusilaan
HASSAN MAD

Setiausaha Agung MPM, Datuk Hassan Mad berkata, MPM sentiasa menjunjung prinsip hak asasi manusia dan kebebasan bersuara yang dijamin dalam kerangka undang-undang negara.

Namun katanya, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, menghormati sensitiviti masyarakat serta tidak menjejaskan keharmonian dan nilai-nilai bersama yang menjadi asas kehidupan bernegara.

“MPM berpandangan bahawa sebarang bentuk persembahan yang menggunakan Rukun Negara sebagai bahan sehingga menimbulkan provokasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat perlu dipandang serius.

“Lebih-lebih lagi apabila ia dilihat menyentuh nilai Kesopanan dan Kesusilaan, yang merupakan salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara dan menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati,” ujarnya.

Sehubungan itu, MPM mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan rapi terhadap perkara tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang negara.

MPM turut memandang serius persoalan mengenai kesesuaian penyiaran dan persembahan sedemikian, khususnya ketika negara baru sahaja menyambut Hari Malaysia, satu peristiwa penting yang seharusnya menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian dan rasa hormat antara seluruh rakyat Malaysia.

MPM menyeru semua pihak agar menggunakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dan tidak menjadikan perkara-perkara yang menyentuh asas kenegaraan, identiti bersama serta sensitiviti masyarakat sebagai bahan yang boleh mencetuskan perpecahan atau keresahan.

“MPM akan terus mempertahankan nilai-nilai Rukun Negara, keharmonian masyarakat serta prinsip saling menghormati yang menjadi asas kepada Malaysia yang aman dan bersatu,“ ujarnya. – UTUSAN

The post MPM kesal persembahan yang menyentuh Rukun Negara bercanggah nilai kesopanan dan kesusilaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved