johardy10/08/2026 - 09:40 Dr. Noor Khairin Mohd menunjukkan cecair penyejuk rendaman berasaskan sawit Sawit EcoTherm - Foto MPOB Oleh Danni Haizal Danial Donald editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan Sawit EcoTherm, cecair penyejuk rendaman berasaskan sawit yang berupaya mengurangkan penggunaan air dan tenaga secara ketara di pusat data, sekali gus menyokong pembangunan infrastruktur digital yang lebih mampan.
Pegawai Penyelidik Kanan Unit Kejuruteraan Proses dan Reka Bentuk, Bahagian Teknologi Oleokimia Termaju MPOB, Dr. Noor Khairin Mohd berkata, Sawit EcoTherm mentransformasikan sistem penyejukan pusat data daripada proses yang memerlukan penggunaan air tinggi kepada rumusan penyejukan tanpa air.
Menurut beliau, teknologi itu bukan sahaja berpotensi membantu melindungi sumber air negara, malah dapat menyokong pertumbuhan pesat ekonomi digital Malaysia.
Sistem penyejukan berasaskan air yang digunakan secara tradisional di pusat data dijangka menggunakan sebanyak 876 juta liter air sehari di Malaysia, bersamaan keperluan air hampir empat juta penduduk.
“Teknologi ini menggantikan sistem penyejukan konvensional berasaskan udara dan air. Daripada menggunakan menara penyejuk yang menggunakan banyak air melalui penyejatan, komponen pelayan direndam sepenuhnya dalam cecair dielektrik tidak konduktif yang menyingkirkan haba secara berterusan dalam sistem gelung tertutup.
“Sekiranya diterima pakai secara meluas, teknologi penyejukan rendaman menggunakan Sawit EcoTherm berpotensi mengurangkan permintaan air secara ketara dalam industri pusat data,” katanya.
Sesuai untuk pusat data AI
Noor Khairin berkata, Sawit EcoTherm menggabungkan bahan mentah boleh baharu yang diperoleh di dalam negara dengan operasi tanpa air, kecekapan tenaga dan prestasi penyejukan tinggi, sekali gus menjadikannya penyelesaian berpotensi bagi pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pusat data berskala besar generasi akan datang.
Menurut beliau, antara kelebihan Sawit EcoTherm ialah keupayaannya menggabungkan penyejukan berprestasi tinggi dengan aspek kemampanan serta penggunaan sumber tempatan menerusi cecair penyejuk rendaman bukan konduktif berasaskan minyak sawit Malaysia.
“Pelayan AI menghasilkan haba tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding pelayan konvensional.
“Oleh itu, penyejukan rendaman mampu mengendalikan beban haba yang jauh lebih tinggi berbanding penyejukan udara konvensional, sekali gus membolehkan ketumpatan pengkomputeran yang tinggi, meningkatkan kecekapan tenaga serta operasi yang lebih dipercayai untuk infrastruktur AI generasi akan datang,” katanya.
Dari segi kemampanan, beliau berkata, Sawit EcoTherm turut membantu pengendali pusat data mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menangani empat keutamaan utama, iaitu pemuliharaan air, kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dan perlindungan alam sekitar.

Penggunaan tenaga boleh dikurangkan sehingga 50%
“Teknologi ini meningkatkan kecekapan tenaga dengan menyejukkan komponen pelayan secara langsung, menghapuskan keperluan penggunaan kipas pelayan dan mengurangkan penggunaan tenaga sekitar 30 hingga 50%, yang menyumbang kepada peningkatan keberkesanan penggunaan tenaga (PUE).
“Teknologi ini juga membantu mengurangkan pelepasan karbon berikutan penggunaan elektrik yang lebih rendah secara langsung mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tidak langsung (Skop 2),” katanya.
Menurut Noor Khairin, Sawit EcoTherm dihasilkan daripada sehingga 95% bahan berasaskan bio boleh baharu yang berasal daripada sawit, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada cecair penyejuk berasaskan petroleum dan meningkatkan prestasi alam sekitar secara keseluruhan.
“Ia tidak mengandungi PFAS atau ‘bahan kimia kekal’, mudah terbiodegradasikan dan mempunyai ketoksikan ekologi yang rendah, sekali gus mengurangkan risiko terhadap alam sekitar akibat kebocoran atau pelupusan tidak sengaja berbanding cecair penyejuk sintetik konvensional,” katanya.
PFAS merujuk kepada kumpulan bahan kimia yang sukar terurai dan boleh kekal dalam alam sekitar untuk tempoh yang panjang.
Malaysia berpotensi jadi peneraju teknologi penyejukan pusat data
Noor Khairin berkata, sokongan kerajaan amat penting bagi mempercepatkan penerimagunaan teknologi berkenaan, khususnya dalam menyediakan ekosistem yang sesuai untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia.
Menurut beliau, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara MPOB, penyedia teknologi, pemaju pusat data, pembangun pelayan serta pengintegrasi sistem penyejukan rendaman.
“Keutamaannya adalah untuk membina keyakinan dalam kalangan pengendali pusat data melalui projek perintis, pengesahan teknikal serta demonstrasi prestasi, kebolehpercayaan dan manfaat kos dalam jangka panjang bagi teknologi itu.
“Dengan menggabungkan sokongan kerajaan, kerjasama industri dan keupayaan kukuh Malaysia dalam oleokimia, Sawit EcoTherm berpotensi meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam teknologi penyejukan rendaman mampan untuk pusat data AI generasi akan datang,” katanya. - BERNAMA


