liza03/08/2026 - 09:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Syarikat perkhidmatan tenaga berpangkalan di Terengganu, Tredwell menjalin kerjasama strategik dengan Weatherford International bagi memperkukuhkan teknologi, kepakaran teknikal dan pembangunan bakat tempatan dalam industri huluan minyak dan gas.
Melalui kerjasama tersebut, Weatherford akan menyediakan teknologi, peralatan dan kepakaran teknikal bertaraf antarabangsa, manakala Tredwell menyumbang pengalaman serta keupayaan kejuruteraan tempatan bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas di Malaysia.
Gabungan kepakaran kedua-dua syarikat dijangka membolehkan pelanggan menikmati penyelesaian yang lebih inovatif, cekap dan berkualiti dalam operasi telaga minyak dan gas, selaras dengan perkembangan teknologi industri tenaga global.
MoU berkenaan turut menyediakan kerangka kerjasama bagi kedua-dua syarikat untuk memperluaskan penggunaan teknologi moden, meningkatkan kecekapan operasi serta menawarkan penyelesaian yang memberi nilai tambah kepada pelanggan.
Fokus Kepada Pemindahan Teknologi Dan Pembangunan Bakat
Antara fokus utama kerjasama itu ialah memperkukuh keupayaan teknikal tempatan menerusi pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dalam sektor tenaga.
Kedua-dua syarikat juga akan mempercepatkan pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran khusus bagi menyokong inovasi dalam industri minyak dan gas, selain membantu meningkatkan daya saing pemain tempatan.

Sebagai syarikat perkhidmatan tenaga yang berpangkalan di Terengganu, Tredwell berkata, pihaknya kekal komited menyokong pertumbuhan sektor tenaga domestik melalui kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem industri negara.
Menurut syarikat itu, tumpuan awal kerjasama adalah bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia sebelum kedua-dua pihak meneroka peluang memperluaskan sinergi operasi ke negara-negara lain di rantau Asia Pasifik.
Sokong Pertumbuhan Industri Serantau
Menurut Tredwell, MoU berkenaan menandakan permulaan kepada hubungan kerjasama jangka panjang yang bukan sahaja bertujuan membantu kejayaan pelanggan, malah membangunkan kepakaran teknikal tempatan serta menyumbang kepada kemajuan industri tenaga di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
Syarikat itu tidak mendedahkan sebarang nilai kerjasama atau projek yang bakal dilaksanakan menerusi MoU berkenaan, sebaliknya menjelaskan ia merupakan langkah awal bagi meneroka peluang kerjasama komersial dan teknikal pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata MoU yang dimeterai antara Tredwell dan Weatherford International adalah langkah penting dalam membuka lebih banyak peluang kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sektor huluan petroleum, khususnya bidang yang memerlukan teknologi tinggi dan kepakaran khusus.
“Tredwell memiliki kepakaran dalam penyelenggaraan telaga minyak, manakala Weatherford merupakan syarikat antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan peralatan dan teknologi untuk industri petroleum, yang akan mewujudkan sinergi yang mampu memperkukuh pembangunan sektor berkenaan.
“Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama tersebut dan berharap MoU itu dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek serta pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada syarikat tempatan seterusnya meningkatkan keupayaan anak Terengganu untuk bersaing dalam industri huluan petroleum,” katanya. - DagangNews.com






