MPP beri amaran pemilik hartanah perlu selenggara kawasan

16 Dec 2025 • 4:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

MAJLIS Perbandaran Penampang (MPP) mengingatkan pembayar cukai agar lebih peka terhadap keadaan kawasan hijau di sekitar kediaman masing-masing bagi memastikan pokok dan rumput di dalam rumah tidak menjadi punca gangguan kepada jiran tetangga.

Jurucakap agensi itu berkata pihaknya tidak menghalang pemilik rumah mencantikan halaman dengan pokok dan tanaman hiasan namun mereka perlu memastikan kawasan tersebut diselenggara secara berkala.

“Pemilik perlu mengambil inisiatif menyelenggara tanaman supaya kawasan rumah tidak menjadi pemandangan yang mencacatkan.

Rumput perlu dipotong sekurang-kurangnya sebulan sekali begitu juga dengan tumbuhan menjalar atau dahan yang melepasi pagar dan menceroboh ruang udara jiran,” katanya.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian sehingga menimbulkan gangguan awam boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil mengikut Seksyen 49(c) Ordinan Kerajaan Tempatan 1961.

Jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Kami sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan pasukan perundangan bagi memulakan prosiding mahkamah terhadap pemilik rumah yang cuai,” katanya sambil menambah bahawa satu amaran terakhir yang ditandatangani Presiden Majlis akan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada proses tersebut.

Menurutnya pembayar cukai terbabit akan dimaklumkan bahawa tanah mereka yang “ditumbuhi dan tidak diselenggara” telah menjadi tidak terurus serta menimbulkan kebimbangan awam berikutan kehadiran perosak termasuk nyamuk yang berpotensi membiak di kawasan berkenaan.

“Tempoh budi bicara selama tujuh hari akan diberikan untuk menghapuskan gangguan ini. Jika gagal mematuhi arahan tindakan undang-undang akan diambil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas maklum balas orang awam berhubung risiko kesihatan dan kebakaran akibat keadaan tidak terurus di sekitar sebuah rumah kosong di Taman Putra Pogun.

Seorang pembayar cukai dari kawasan berkenaan mendakwa pintu pagar, pagar perimeter dan halaman rumah kosong itu hampir sepenuhnya dilitupi tumbuhan menjalar yang disyaki menjadi habitat perosak berbahaya.

Menurutnya penduduk di Lorong Bel’Drees 4, lokasi rumah kosong itu turut menyedari peningkatan jumlah nyamuk di dalam kediaman mereka selain melihat kehadiran ular, tikus dan biawak yang dipercayai datang dari lot tidak berpenghuni berkenaan.

Selain kebimbangan terhadap perosak beliau turut khuatir rumah kosong itu disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap kerosakan struktur rumah tersebut mendakwa sebahagian tanah di dalam kompaun telah menjadi tidak stabil sehingga menyebabkan jubin marmar di permukaan runtuh.

Pemerhatian itu dikongsikan dengan pemilik rumah bersebelahan yang memaklumkan bahawa aliran air hujan dari bumbung rumah kosong tersebut telah memberi kesan buruk kepada kediamannya.

Menurutnya kelembapan mula meresap ke bahagian siling dan kesan kotoran terbentuk pada dinding berhampiran lantai. Lebih membimbangkan air limpahan itu turut mengalir ke kawasan kotak fius jiran berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan.

Pembayar cukai itu mendakwa telah melaporkan perkara berkenaan kepada Majlis pada Januari lalu namun selepas hampir 12 bulan keadaan masih tidak berubah.

Bagaimanapun jurucakap MPP menafikan dakwaan agensi itu tidak mengambil tindakan sambil menjelaskan bahawa kakitanganya telah mengesahkan keadaan tidak terurus di kompaun rumah kosong itu melalui tiga pemeriksaan berasingan.

“Semakan rekod menunjukan notis telah dilekatkan di pintu pagar premis itu oleh kakitangan Bahagian Penilaian pada Februari, Oktober dan terbaharu pada awal Disember,” tegasnya.

Beliau berkata pemilik rumah gagal mematuhi arahan Majlis untuk membersihkan dan menyelenggara kawasan yang ditumbuhi tanaman liar.

“Seorang pegawai kanan dari Bahagian Kesihatan berjaya menghubungi pemilik rumah tersebut minggu lalu dan dimaklumkan bahawa individu berkenaan berada di luar negara.

“Pemilik memberi jaminan akan menguruskan penyelenggaraan kompaunnya secepat mungkin selepas mendapatkan khidmat kontraktor persendirian,” katanya.

Tambah beliau Bahagian Kejuruteraan Majlis juga akan menulis kepada pemilik rumah berkenaan bagi menangani masalah aliran air hujan yang menjejaskan rumah jiran.

View Original Article