MPPD Sita Khemah Tanpa Penyewa Di Pantai Telok Kemang

LocalPolitics
9 Oct 2024 • 3:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

MPPD Sita Khemah Tanpa Penyewa Di Pantai Telok Kemang

SEREMBAN, 9 Okt ( Bernama) — Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyita sembilan unit khemah biru yang dipasang tanpa penyewa di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini.

MPPD dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa tindakan ini adalah hasil operasi pemantauan dan kawalan khemah biru di pantai berkenaan oleh anggota penguat kuasa MPPD pada 5 dan 6 Okt lepas.

“Hasil pemantauan tersebut, sembilan unit khemah bersaiz 10’x10′ yang dipasang tanpa penyewa telah disita. Tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara berkala dan berterusan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dalam waktu terdekat, susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pelbagai aspek akan dinilai sebelum membuat keputusan memandangkan kebanyakan pengusaha telah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ.

Sumber: BERNAMA