MPPK Kaji Isu Bebanan Kerja Guru

3 Jan 2023 • 1:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MPPK akan diaktifkan semula tidak lama lagi bagi dengan tumpuan adalah kepada isu bebanan kerja guru. - Gambar oleh Azim Rahman

SHAH ALAM - Isu bebanan kerja guru antara perkara yang akan diberi tumpuan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang akan diaktifkan semula tidak lama lagi. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tanggungjawab mengkaji perkara itu akan diberikan kepada majlis berkenaan yang sebelum ini diumumkan beliau untuk diaktif semula seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

image is not available
Fadhlina Sidek

“Saya sudah umumkan sebelum (ini) dengan memberikan tanggungjawab itu kepada MPPK yang akan kita umumkan tidak lama lagi. Antara tumpuan mereka adalah beban guru,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, jawatankuasa berkenaan penting dalam usaha mencari resolusi menyelesaikan beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, KPM menyerahkan kepada budi bicara pihak sekolah berhubung pemakaian tali leher dalam kalangan pelajar di negara ini. 

Beliau berkata, kementerian memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk menentukan perkara tersebut. 

image is not available
Kementerian memberi kelonggaran kepada pihak sekolah berhubung pemakaian tali leher dalam kalangan pelajar.

“Itu terserah kepada sekolah. Jadi kita berikan kelonggaran kepada sekolah (untuk) menentukan pakai atau tidak,” katanya. 

Beliau diminta mengulas sama ada pelajar sekolah turut dibenarkan tidak memakai tali leher sebagaimana pendekatan kerajaan perpaduan ketika ini. 

Semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen dilihat memakai sut tanpa mengenakan tali leher. - Getaran, 3 Januari 2023