GOMBAK, 1 SEPT: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Sungai Tua yang dibangunkan dengan kos RM2.4 juta oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merupakan inisiatif meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MPS menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan di negara ini yang menubuh dan membangunkan sendiri pusat seumpama itu untuk warga emas.

“Pusat warga emas ini mula dibina 2023 dan telah siap dengan pelbagai penyediaan infrastruktur dan dapat menampung sehingga 200 orang.
“MPS telah berhubung dengan persatuan warga emas sekitar Sungai Tua untuk mereka jalani aktiviti di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat warga emas itu.

Amirudin menambah kemudahan PAWE akan membantu Kerajaan Negeri menghadapi cabaran menampung warga emas di negeri ini susulan peningkatan jumlah jangka hayat.
“Tahun 2008 jangka hayat di Selangor pada umur 65 tetapi data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jangka hayat telah meningkat ke 78.
“Kita tidak boleh fikirkan hanya sedia pusat ‘kindergarden’ tetapi perlu menyediakan pusat aktiviti untuk warga emas jalani kehidupan dengan aktif,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin memaklumkan dibina di atas milik Kerajaan Negeri seluas 0.58 ekar di Mukim Batu, Daerah Gombak dengan konsep rekaan modern tropical.
“Pembangunan PAWE menerapkan rekaan universal dan mesra bagi warga emas dengan menggunakan sistem solar dan penuaian air hujan.
“Pelbagai aktiviti telah dirancang iaitu program kesihatan, sosial, ekonomi dan kerohanian. Ia memberi keselesaan kepada warga emas jalani kehidupan kemasyarakatan dengan lebih mudah,” jelasnya.
Pada majlis sama, Permodalan Negeri Selangor Berhad turut menyumbang RM20,000 bagi menampung kos pembelian peralatan untuk kegunaan aktiviti di PAWE.



The post MPS belanja RM2.4 juta bina Pusat Aktiviti Warga Emas di Sungai Tua appeared first on Selangorkini.



