MPS seru persatuan perniagaan jadi penghubung komuniti

LocalBusiness & Finance
3 Apr 2025 • 2:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Persatuan Perniagaan Cina Sandakan diharap dapat memainkan peranan sebagai jambatan komunikasi antara komuniti perniagaan dan pihak berkuasa tempatan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Walter Kenson berkata, ia bagi menggalakkan kerjasama strategik ke arah merancakkan pertumbuhan ekonomi di Sandakan.

“Kemajuan ekonomi Sandakan memerlukan kerjasama semua pihak kerana MPS hanya dapat merancang dan melaksanakan pembangunan jika mempunyai hasil pendapatan yang mencukupi.

“Tanpa kutipan hasil seperti cukai dan bayaran lain, keupayaan majlis untuk membina serta menaik taraf kemudahan asas dan prasarana adalah amat terhad,” katanya semasa menghadiri sesi sarapan pagi anjuran Persatuan Perniagaan Cina Sandakan, baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak MPS sentiasa terbuka kepada usahawan, khususnya mereka yang ingin mengemukakan cadangan atau maklum balas yang membina dan selaras dengan agenda pembangunan.

Dalam perkongsiannya, Walter turut memaklumkan MPS kini sedang melaksanakan pelan transformasi pentadbiran, yang antara lain merangkumi pembinaan terminal bas baharu serta perhentian bas berhawa dingin.

Majlis juga sedang merangka laluan pelancongan baharu bagi memperkasakan sektor pelancongan tempatan. Rancangan ini kini berada pada peringkat pelaksanaan.

Selain itu, beliau mengemukakan cadangan kepada Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, agar Sandakan dijadikan Zon Perdagangan Bebas bagi merangsang aktiviti ekonomi dan pelaburan.

Beliau turut memaklumkan bahawa MPS bercadang untuk menganjurkan majlis pelancaran inisiatif “Melabur di Sandakan” dalam beberapa bulan akan datang sebagai usaha menarik pelabur tempatan dan asing.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa usaha menarik pelaburan memerlukan strategi jangka panjang dan kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Perniagaan Cina Sandakan, Hii Ming Huat, menegaskan bahawa persatuan berperanan sebagai penghubung penting dalam menjalin komunikasi dan kerjasama dua hala yang lebih erat antara sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berharap lebih banyak program dan projek kerjasama dapat dilaksanakan bersama MPS demi kemajuan ekonomi Sandakan secara menyeluruh.