MANJUNG - Seorang rentung manakala seorang lagi cedera dalam nahas dua kenderaan di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari di sini pada Khamis.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis jam 4.36 pagi melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dan sebuah treler.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awal, MPV terbabit terbakar dan musnah kira-kira 90 peratus selepas dipercayai bertembung dengan kenderaan berat berkenaan.
**media[3547377]**
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman sebelum menemui seorang mangsa yang terperangkap dan rentung di dalam kenderaan tersebut.
"Mayat mangsa kemudian dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, setakat ini, identiti mangsa yang maut belum dipastikan.
Katanya, pemandu treler, seorang lelaki berusia 60 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 pagi.
"Kerja pembersihan jalan turut dijalankan bagi mengalihkan serpihan kenderaan serta tumpahan minyak akibat kemalangan tersebut," katanya.
Operasi yang melibatkan enam anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 6.48 pagi.






