KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri dalam usaha mendapatkan keredaan ALLAH SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) merangkap Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadot berkata, tidak akan sesat seseorang itu sekiranya al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW dijadikan panduan dalam mendepani cabaran hidup.
Beliau menambah, empat sifat utama Nabi Muhammad SAW juga perlu sentiasa diterapkan dalam hati setiap umat Islam iaitu amanah, siddiq, tabligh dan fathanah.
Begitu juga sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat al-Hakim 'aku tinggalkan kepada umatku dua perkara iaitu al-Quran dan sunnah'.
"Apa yang kita lakukan (Malaysia #QuranHour 2026) adalah untuk melaksanakan kehendak tersebut kerana 'tidak akan sesat jika dipegang kedua-dua perkara ini'. Yang penting, kekal istiqamah.
"Susah atau senang, mesti rujuk kepada ALLAH SWT. Selain itu, kita mesti bersyukur atas nikmat yang diberi kerana melalui program ini, kita dapat muhasabah diri dan perbaiki kelemahan.
"Mana bumi yang tidak ditimpa hujan, mana pinggan yang tidak retak dan mana manusia yang tidak melakukan salah melainkan Nabi serta Rasul," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Malaysia #QuranHour 2026 bertempat di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118, di sini pada Ahad.
Nooh sempat menyampaikan pidato 'Pesan Ulama untuk Negara' ketika Malaysia #QuranHour 2026 berlangsung.
Program selama satu jam itu turut disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Ditanya mengenai masyarakat yang kini semakin terbuka melontarkan komen berbaur hinaan di media sosial tanpa menjaga perasaan orang lain, bekas Mufti Johor itu menasihatkan agar individu sedemikian bertaubat dan berhenti mengumpul 'dosa percuma'.
Jelasnya, sifat mazmumah sebegitu mesti dijauhkan kerana ia mampu memecah-belahkan umat Islam dan komuniti bukan beragama Islam.
"Apa jua yang kita lakukan mestilah ikhlas kerana ALLAH SWT. Jangan ada rasa dendam dan hasad dengki.
"Saya menasihatkan kepada masyarakat yang juga pengguna media sosial supaya hentikanlah dapat dosa percuma," ujarnya lagi.





