Al-Quran sumber kekuatan negara merdeka

30 Aug 2026 • 4:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Al-Quran sumber kekuatan negara merdeka
Fazrul pada Malaysia #QuranHour 2026 di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Ahad. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Al-Quran sumber kekuatan negara merdeka
Sebahagian peserta mengambil bahagian dalam Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 pada Ahad. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR –  Surah Al-Muzzammil, Al-Balad dan Al-Baqarah dipilih sebagai fokus Malaysia #QuranHour 2026 bagi membawa mesej penghayatan kemerdekaan yang berteraskan kekuatan diri, keprihatinan terhadap golongan memerlukan serta al-Quran sebagai sumber hidayah.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail yang juga pentadabbur berkata, ketiga-tiga surah berkenaan mengangkat mesej yang saling berkait dalam membimbing masyarakat mengisi kemerdekaan dengan nilai yang lebih bermakna.

Menurutnya, antara mesej utama yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia ialah setiap manusia pernah melalui kesusahan dan kemudahan yang dikurniakan ALLAH SWT perlu dimanfaatkan untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Kita akan berbincang tentang tiga surah, yang utamanya Surah Al-Muzammil dan Al-Balad. Selain itu, kita turut menghubungkannya dengan Surah Al-Baqarah.

“Melalui surah dipilih, mesej yang kita cuba sampaikan kepada rakyat Malaysia bahawa setiap manusia pernah berada dalam keadaan susah. Apabila ALLAH SWT memberikan kemudahan, gunakan kemudahan itu untuk menolong orang yang susah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysia #QuranHour 2026 di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 di sini, Ahad.

**media[3631242]**

Fazrul berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya perlu diteruskan dengan semangat saling membantu antara pemimpin dan rakyat, khususnya dalam membela nasib golongan yang memerlukan.

"Inilah formula untuk sesebuah negeri atau negara akan terus merdeka apabila semua saling membantu

"Setiap lapisan masyarakat, pemimpin dan juga rakyat perlu terus membantu mereka yang memerlukan. Jangan menuding kepada orang lain sahaja," ujarnya lagi.

Beliau berkata, penghayatan itu turut dikaitkan dengan Surah Al-Baqarah, khususnya ayat satu hingga lima bagi menjelaskan konsep hidayah yang diperlukan manusia dalam kehidupan.

Menurutnya, apabila manusia memohon hidayah setiap hari menerusi Surah Al-Fatihah, al-Quran menjadi sumber panduan dan bantuan dalam menyambut hidayah berkenaan.

"Kita tidak mahu kemerdekaan itu hanya diusahakan oleh manusia dan makhluk semata-mata, tetapi kita juga memohon bantuan daripada ALLAH SWT dengan panduan al-Quran,” tambah beliau lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved