MR DIY kekalkan momentum pertumbuhan, raih pendapatan RM1.4 bilion pada suku pertama 2026

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MR DIY kekalkan momentum pertumbuhan, raih pendapatan RM1.4 bilion pada suku pertama 2026 Image from: MR DIY kekalkan momentum pertumbuhan, raih pendapatan RM1.4 bilion pada suku pertama 2026 liza20/05/2026 - 18:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – MR DIY Group Berhad mencatat prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026) yang kukuh dengan peningkatan hasil dan keuntungan selepas cukai, disokong oleh pengembangan rangkaian stor, permintaan pengguna yang stabil serta kecekapan operasi yang berterusan.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM1.4 bilion, meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) naik 10.3 peratus kepada RM192 juta, mencerminkan momentum pertumbuhan yang berterusan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 10.3 peratus kepada RM258.3 juta, selari dengan peningkatan keuntungan keseluruhan kumpulan sepanjang suku tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY Malaysia, Adrian Ong berkata prestasi kukuh itu didorong oleh skala perniagaan yang semakin berkembang, disiplin operasi yang konsisten serta penawaran nilai yang kekal relevan kepada pengguna.

 

Beliau berkata kumpulan kekal fokus untuk menyediakan nilai konsisten kepada pelanggan melalui harga berpatutan, kualiti produk yang stabil serta aksesibiliti yang meluas di seluruh negara.

 

“Pertumbuhan hasil turut disokong oleh pengembangan rangkaian stor yang berterusan, dengan jumlah stor meningkat 7.7 peratus kepada 1,584 lokasi berbanding 1,471 setahun sebelumnya.

 

“Dalam masa sama, transaksi pelanggan turut mencatat peningkatan dengan trafik pelanggan yang sihat di seluruh rangkaian, sekali gus menyokong pertumbuhan jualan keseluruhan,” katanya.

 

Jualan di kedai sedia ada juga mencatat prestasi positif, disokong permintaan bermusim yang kukuh semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

 

Margin keuntungan kasar kumpulan meningkat 0.8 mata peratusan kepada 48.6 peratus, disokong oleh pelaksanaan promosi yang lebih berdisiplin serta kos inventori yang lebih baik berikutan pengukuhan Ringgit.

 

Sementara itu, margin keuntungan bersih turut meningkat kepada 14 peratus, mencerminkan kecekapan kos dan peningkatan kecekapan operasi keseluruhan kumpulan.

 

Walaupun berdepan tekanan kos daripada turun naik harga tenaga dan komoditi, kumpulan berjaya mengekalkan prestasi melalui pengurusan kos yang berkesan serta disiplin operasi.

 

Sebagai langkah menyokong pengguna, MR DIY melancarkan inisiatif nasional “Harga Tetap Sama” yang mengekalkan harga pelbagai barangan keperluan harian bagi membantu pengguna mengurus kos sara hidup.

 

Bagi strategi pengembangan, kumpulan menyasarkan kira-kira 155 pembukaan stor baharu tahun ini, dengan fokus terhadap pemilihan lokasi yang strategik serta pulangan operasi yang mampan.

 

MR DIY turut memperkukuh pengembangan di pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya, khususnya di Sabah dan Sarawak, sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang.

 

Bagi suku tersebut, kumpulan mengumumkan dividen interim sebanyak RM151.6 juta, meningkat 14.6 peratus tahun ke tahun, selaras dengan dasar peruntukan modal yang berdisiplin.

 

Dari segi prospek, kumpulan menjangkakan momentum pertumbuhan akan diteruskan dengan sokongan pengembangan rangkaian, permintaan pengguna yang stabil serta strategi penawaran nilai yang konsisten.

 

MR DIY berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, daya saing harga dan pengukuhan rangkaian bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard