Tune Protect catat prestasi stabil 1Q2026, segmen Motor jadi pemacu utama pertumbuhan

Business & Finance
20 May 2026 • 6:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tune Protect catat prestasi stabil 1Q2026, segmen Motor jadi pemacu utama pertumbuhan Image from: Tune Protect catat prestasi stabil 1Q2026, segmen Motor jadi pemacu utama pertumbuhan liza20/05/2026 - 18:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Tune Protect Group Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi suku pertama yang kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan kukuh segmen bukan perjalanan serta pengembangan berterusan ekosistem perniagaan kumpulan walaupun berdepan persekitaran pasaran global yang mencabar.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tune Protect berkata Kumpulan mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

 

“Namun angka itu menyusut 47.6% berbanding RM7.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kelemahan pendapatan pelaburan, pergerakan tukaran asing serta prestasi segmen perjalanan yang lebih perlahan.

 

“Dalam masa yang sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) juga susut sebanyak 84.2% kepada RM1.7 juta berbanding RM10.7 juta pada 1Q25, terutama disebabkan oleh penurunan pendapatan pelaburan serta tekanan kos operasi yang meningkat akibat ketidaktentuan pasaran global,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pendapatan pelaburan kumpulan merosot kepada RM4.3 juta berbanding RM8.1 juta sebelumnya, sejajar dengan volatiliti pasaran bon global dan jangkaan kadar faedah yang berubah-ubah, namun pengurusan portfolio kekal fokus kepada strategi pendapatan tetap berkualiti tinggi dan bon kerajaan jangka panjang.

 

Walaupun berdepan tekanan tersebut, nisbah gabungan kumpulan kekal berada di bawah paras 100% pada 98.5%, meningkat daripada 93.5% sebelum ini, yang menunjukkan disiplin pengurusan risiko yang masih kukuh serta keupayaan operasi teras yang stabil.

 

Gross Written Premium (GWP) meningkat 1.8% kepada RM91.1 juta, disokong oleh prestasi memberangsangkan segmen bukan perjalanan khususnya Motor yang mencatat pertumbuhan 23.3% tahun ke tahun, menjadi penyumbang utama kestabilan pendapatan kumpulan.

 

Namun, segmen perjalanan hanya sederhana susulan ketidaktentuan geopolitik, perubahan corak perjalanan antarabangsa serta kelembapan permintaan di rantau Asia.

 

Pendapatan insurans keseluruhan susut 8.6% kepada RM80.9 juta, namun kesannya diimbangi sebahagiannya oleh pertumbuhan kukuh segmen bukan perjalanan yang terus menjadi tonggak utama strategi kepelbagaian kumpulan.

 

Segmen Motor, insurans kemalangan peribadi dan perlindungan pekerja asing terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh pengembangan rakan strategik serta saluran agensi dan digital yang lebih luas.

 

t
How Kim Lian

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan How Kim Lian berkata prestasi tersebut mencerminkan ketahanan asas perniagaan Kumpulan meskipun berdepan persekitaran operasi yang lebih mencabar, termasuk ketidaktentuan pasaran dan perubahan permintaan dalam segmen tertentu.

 

Beliau berkata, kekuatan utama Kumpulan pada suku tersebut disokong oleh segmen bukan perjalanan, khususnya perniagaan Motor yang terus mencatat pertumbuhan kukuh, sekali gus membantu mengimbangi penyederhanaan dalam segmen perjalanan serta tekanan daripada pendapatan pelaburan.

 

“Dalam masa yang sama, kami terus memberi fokus kepada disiplin operasi teras, pengukuhan margin serta peluasan ekosistem perniagaan melalui produk nilai tambah dan kerjasama strategik bagi memastikan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

 

Kumpulan turut merekodkan hasil perkhidmatan insurans bersih sebanyak RM1.3 juta, mencerminkan perubahan campuran portfolio yang lebih pelbagai serta peningkatan sumbangan produk bukan perjalanan yang diiktiraf secara berperingkat.

 

Selain itu, pendapatan sampingan meningkat 12.7% tahun ke tahun, dipacu oleh pengembangan produk nilai tambah serta integrasi ekosistem digital merentas segmen Perjalanan dan Motor.

 

Antara inisiatif utama termasuk peluasan kerjasama dengan OTA serantau seperti AirPaz di Thailand dan Indonesia serta Crazyjet di Sri Lanka, selain pelancaran platform “Travel Beyond” yang membolehkan pelanggan menyesuaikan perlindungan perjalanan dengan lebih fleksibel.

 

Kumpulan turut memperkukuh ekosistem Motor melalui tawaran nilai tambah seperti valet parking percuma, perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan bateri pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan keterikatan pelanggan dalam jangka panjang.

 

Melihat ke hadapan, Tune Protect kekal berhati-hati terhadap cabaran makroekonomi seperti inflasi, ketidaktentuan geopolitik dan permintaan perjalanan global yang sederhana, namun kekal optimis terhadap pertumbuhan jangka sederhana.

 

Fokus kumpulan adalah kepada disiplin operasi teras, pengukuhan margin, pengembangan segmen bukan perjalanan, serta peningkatan pendapatan sampingan melalui inovasi produk dan pendigitalan saluran pengedaran bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam persekitaran yang mencabar. - DagangNews.com

Terkini featured standard