
PENGARAH filem dari Sabah Jade Morris tampil dengan naskhah sulungnya Mr Finance yang mula menjengah di 35 pawagam seluruh negara bermula Khamis lalu.
Mr Finance, sebuah filem bergenre romantik komedi, mengangkat kisah cinta yang menyentuh hati dengan mengetengahkan seorang gadis autisme serta cabaran yang dihadapinya dalam menjalani kehidupan dan membina hubungan dengan orang di sekelilingnya.
Jade berkata filem terbabit turut membawa mesej tentang penerimaan, empati dan pemahaman terhadap individu autisme di samping menampilkan sisi kemanusiaan dalam hubungan sesama insan.
“Saya merayu kepada orang ramai agar memberikan sokongan kepada filem Mr Finance, karya sulung arahan saya yang diterbitkan menggunakan dana sendiri dan kini mula ditayangkan di 35 pawagam di seluruh negara.
“Kelangsungan Mr Finance di pawagam melebihi dua minggu amat bergantung pada sokongan penonton.
“Saya berharap orang ramai dapat memberikan peluang kepada filem tempatan khususnya karya anak Sabah untuk terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri perfileman negara,” katanya selepas tayangan filem Mr Finance di pawagam Growball Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Mengulas Belanjawan 2027 bagi industri kreatif, Jade optimis Sabah akan terus mendapat perhatian kerajaan termasuk peruntukan yang lebih besar sejajar dengan perkembangan dan peningkatan aktiviti penerbitan filem di negeri ini.
Terdahulu, Jade, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) mewakili persatuan itu menyampaikan sumbangan kepada dua ahlinya Winston Bewsher dari Tuunon Kolopis, Penampang dan Michelle Bulo dari Taman Sri Kiansom, Inanam, yang terjejas banjir baru-baru ini.
“Diharapkan bantuan wang tunai RM200 untuk setiap seorang ini dapat membantu meringankan beban mereka membersihkan rumah selepas dilanda banjir baru-baru ini,” katanya.
Jade berkata Safva akan terus berusaha menjaga kebajikan ahli serta menganjurkan aktiviti pengumpulan dana bagi membolehkan lebih banyak bengkel dan seminar peningkatan kemahiran dianjurkan untuk memperkasakan penggiat industri filem Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atas usaha memperkukuh perlindungan dan kebajikan kru produksi demi memastikan kesejahteraan tenaga kerja dalam industri perfileman terus diberi perhatian.


