
KUALA LUMPUR – Pelakon Azeva mengakui masih dipengaruhi budaya ‘asing’ ketika menjalani penggambaran filem sulungnya, Bisikan Nafsu apabila berani tampil seksi yang dijangka mencetuskan kejutan dalam kalangan penonton.
Azeva atau nama sebenarnya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, berkata, pembikinan naskhah berkenaan dilakukan selepas dia menamatkan pengajian dari Australia, sekali gus ketika itu tidak janggal mengenakan pakaian mencolok mata.
“Dari hari pertama di set, saya maklum kalau teruskan (penggambaran), sampai bila-bila pun paparan akan kekal (blueprint atau jejak digital). Saya pun selalu mengaku di ‘live’ (siaran langsung) yang dulu saya seksi, banyak dosa.
“Berlakon pun waktu itu kurang pendedahan. Cuma sempat belajar dua, tiga kelas dan sekarang pun masih tunjuk aurat, tapi semakin sedar untuk jaga batas. Jadi awal-awal lagi saya nak minta maaf jika ada orang kurang selesa.
“Apapun, saya akan pastikan tidak mengulangi perkara sebegitu dalam lakonan untuk naskhah akan datang,” katanya selepas pratonton filem berkenaan di TGV KLCC, semalam.
Menurut Azeva, keputusan meneruskan beberapa adegan yang disifatkan boleh mencetuskan polemik pula adalah atas dasar keperluan skrip selain komitmen terhadap filem terbitan syarikat miliknya sendiri, Hello Production.
“Ada beberapa babak romantis dalam filem berkenaan termasuk watak Nadia lakonan saya bersama tunangnya, Arisz (Aniq Suhair) yang ditonjolkan intim sebagai pasangan bercinta.
“Tapi satu adegan lain yang mungkin jadi sorotan adalah atas katil bersama pelakon Zul Huzaimy selaku bapa tiri tetapi dikaburkan. Kita tak tunjuk terang-terangan.
“Saya faham di Malaysia perkara seperti ini memang sangat sensitif. Babak itu dikaburkan, tiada yang berlebihan. Penonton kena datang tengok untuk tahu apa yang dikaburkan,” ulasnya.
Filem Bisikan Nafsu juga arahan pertama Riza Baharudin turut dibintangi Aniq Suhair, Aleza Shahdan, Zul Huzaimy, Raja Azmi dan Ezzaty Abdullah.
Kisah tragis yang menyentuh isu haruan makan anak itu dijadualkan menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE
The post Saya mengaku dulu seksi belajar di Australia, banyak dosa – Azeva appeared first on Kosmo Online.






