MrBeast merupakan salah seorang penerbit kandungan popular di YouTube, dan mempunyai angka pengikut yang paling tinggi di platform tersebut. Tidak setakat itu, MrBeast turut mempunyai kerjasama kandungan bersama Amazon Prime Video, selain turut menghasilkan makanan seperti coklat.
Tidak setakat itu, MrBeast juga sedang melihat untuk memperluaskan penawaran ke perniagaan lain. Mengikut laporan terbaru Business Insider, MrBeast dikatakan ingin hadir dengan syarikat telekomunikasi tersendiri, seawal 2026 kelak.

MrBeast dijangka menjayakan perkara ini melalui konsep MVNO, dimana menggunakan infrastruktur penyedia telekomunikasi sedia ada, tetapi dengan penjenamaan MrBeast serta pelan yang disesuaikan kepada pelanggan mereka.
Buat masa ini, ia dikatakan pasukan MrBeast sedang dalam proses bentangkan idea ini kepada pihak pelabur, termasuk dengan sasaran memperluaskannya kepada perkhidmatan kewangan dan lain-lain.
Sebelum ini, kita sedia melihat Ryan Reynolds, salah seorang pelakon hadir dengan perkhidmatan telekomunikasi tersendiri, yang kemudiannya menjual syarikat berkenaan. Di Malaysia sendiri, kita sedia melihat pempengaruh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam menawarkan pakej khusus untuk para pengikut mereka, dan salah satu yang terbaru adalah pelan Cikgu Shaari OneXOX.


