MRL rancang terbit sukuk digital pertama dijamin kerajaan bagi pembiayaan ECRL

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRL rancang terbit sukuk digital pertama dijamin kerajaan bagi pembiayaan ECRL Image from: MRL rancang terbit sukuk digital pertama dijamin kerajaan bagi pembiayaan ECRL sarah16/11/2026 - 15:52 Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar; dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Stesen ECRL Gombak. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) merancang menerbitkan sukuk digital pertama yang dijamin kerajaan di bawah program pembiayaan bernilai RM19.05 bilion bagi menyokong pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembiayaan infrastruktur negara.

 

Cadangan itu melibatkan penerbitan sukuk menggunakan teknologi tokenisasi, iaitu proses merekodkan pemilikan instrumen kewangan dalam bentuk token digital, yang berpotensi mempercepat penyelesaian transaksi, meningkatkan ketelusan serta memudahkan pengurusan aliran dana.

 

MRL telah menandatangani surat hasrat dengan CIMB Investment Bank Bhd sebagai pengatur utama tunggal bagi cadangan penerbitan berkenaan, yang masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia.

 

Sekiranya dilaksanakan, MRL bakal menjadi entiti pertama di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) serta penerbit sukuk infrastruktur dijamin kerajaan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi tokenisasi.

 

ECRL dijadual mulakan operasi pada Disember 2026

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerjasama dengan CIMB itu bertujuan meneroka kaedah pembiayaan yang lebih cekap bagi menyokong pembangunan ECRL, termasuk potensi mempercepat transaksi dan meningkatkan pengurusan kecairan.

 

Beliau berkata, ECRL berada di landasan untuk memulakan operasi komersial pada 12 Disember 2026, sekali gus menyediakan pengangkutan rel elektrik bagi penumpang dan kargo yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang.

 

Sukuk digital perlu patuhi piawaian Syariah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inovasi teknologi dalam pasaran kewangan perlu terus diteroka tanpa mengabaikan tadbir urus, ketelusan dan perlindungan pelabur yang menjadi asas kekuatan industri kewangan Islam Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, kerjasama tersebut berpotensi menjadikan MRL penerbit korporat bukan kewangan pertama di Malaysia yang menerbitkan sukuk tokenisasi, selepas penerbitan terdahulu oleh CIMB dan Khazanah.

 

Nilai penerbitan khusus belum diumumkan

Walaupun cadangan itu dilaksanakan di bawah program sukuk bernilai RM19.05 bilion, jumlah sebenar bagi penerbitan tokenisasi pertama, tarikh penerbitan serta syarat komersialnya belum dinyatakan dalam kenyataan media tersebut.

 

MRL berharap inisiatif berkenaan dapat memperluas pilihan pelaburan Islam berasaskan teknologi digital, di samping menjadi contoh kepada penerbit lain untuk menggunakan kaedah pembiayaan serupa bagi projek infrastruktur strategik negara.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved