Kenanga dan Huatai Securities dari China bekerjasama tawar peluang pelaburan rentas sempadan

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga dan Huatai Securities dari China bekerjasama tawar peluang pelaburan rentas sempadan Image from: Kenanga dan Huatai Securities dari China bekerjasama tawar peluang pelaburan rentas sempadan amree16/11/2026 - 11:10 CHAY Wai Leong (kiri) berjabat tangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Huatai Financial Holdings (Hong Kong) Limited, Dr Levin Wang. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Peluang pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan China berpotensi terus diperluas menerusi kerjasama strategik antara Kenanga Investment Bank Berhad dengan Huatai Securities Co Ltd bagi memperkukuh hubungan pasaran modal kedua-dua negara.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian kolaborasi strategik yang bertujuan menggabungkan kepakaran, rangkaian dan capaian pasaran kedua-dua institusi kewangan bagi membuka banyak peluang pelaburan serta pengumpulan modal kepada pelanggan, penerbit dan pelabur.

 

Kenanga berkata, kerjasama terbaharu berkenaan turut menyokong aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia 2026-2030 dalam memperkukuh hubungan pasaran antarabangsa, selain meningkatkan bilangan penyertaan pelabur dan akses luas kepada peluang pelaburan serantau.

 

Menerusi kolaborasi itu, kedua-dua pihak akan memperluas keupayaan membangunkan dan mengedarkan produk pelaburan, meningkatkan perkongsian maklumat pasaran serta penyelidikan institusi, memudah cara transaksi pasaran modal dan menggalakkan penyertaan pelaburan lebih meluas.

 

"Kerjasama berkenaan juga dijangka memperkukuh peranan Kenanga sebagai penghubung antara Malaysia dan China, sekali gus menyokong aliran pelaburan dua hala serta memperdalam hubungan pasaran modal kedua-dua negara," kata kumpulan tersebut dalam kenyataan pada Isnin.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Datuk Chay Wai Leong berkata, China kekal sebagai antara sumber modal, inovasi dan aktiviti pelaburan paling penting di dunia, manakala hubungan ekonomi dan kewangan antara kedua-dua negara terus berkembang.

 

Kenanga_DagangNews2026

 

Menurut beliau, hubungan yang lebih erat antara pasaran modal Malaysia dan China adalah penting bagi memudahkan aliran pelaburan, pengembangan perniagaan serta penyertaan lebih meluas syarikat tempatan dan China dalam pasaran kewangan masing-masing.

 

Tambah beliau lagi, kerjasama dengan Huatai akan meningkatkan keupayaan kumpulan berkenaan dalam memudah cara pengumpulan modal, pengedaran produk pelaburan dan liputan penyertaan pasaran yang lebih luas merentasi kedua-dua negara Asia tersebut.

 

"Pada masa sama, kolaborasi ini dijangka menyumbang kepada pembangunan dan pengantarabangsaan pasaran modal Malaysia menerusi usaha menarik penyertaan pelabur, memperluas akses pasaran serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai pintu masuk ke ASEAN," kata Wai Leong.

 

Usaha itu dibuat ketika integrasi pasaran modal serantau semakin berkembang, termasuk menerusi inisiatif Bursa Malaysia dan Hong Kong Exchanges and Clearing Limited (HKEX) untuk memudah cara penyenaraian dan rentas pasaran, sekali gus membuka peluang akses kepada pelabur antarabangsa.

 

Huatai Securities yang ditubuhkan pada 1991 merupakan kumpulan sekuriti China berteraskan teknologi dengan perkhidmatan merangkumi perbankan pelaburan, pengurusan aset, pengurusan kekayaan dan perkhidmatan kewangan institusi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved