MRL yakin ECRL mula operasi pertengahan Disember 2026 sempena cuti sekolah

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRL yakin ECRL mula operasi pertengahan Disember 2026 sempena cuti sekolah Image from: MRL yakin ECRL mula operasi pertengahan Disember 2026 sempena cuti sekolah hamden06/10/2026 - 15:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yakin sasaran operasi komersial Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada pertengahan Disember 2026 adalah realistik, disokong keputusan positif ujian integrasi sistem rangkaian rel itu.

 

MRL berkata, kemajuan dalam fasa Pengujian dan Pentauliahan, khususnya menerusi ujian System Integration Testing (S.I.T), menunjukkan kesiapsiagaan sistem ECRL yang merangkumi sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan serta Overhead Catenary System (OCS).

 

Selaku pemilik projek dan aset ECRL, MRL berkata sasaran itu turut disokong komitmen kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), China Communications Construction Company Ltd (CCCC), untuk menyiapkan dan menyerahkan secara rasmi Fasa 1 (Kota Bharu-Gombak) kepada MRL menjelang pertengahan Oktober 2026.

 

Fasa berkenaan merangkumi jajaran utama, stesen, bangunan dan tapak kerja ECRL.

 

"Kemajuan terkini dalam fasa Pengujian dan Pentauliahan ECRL membolehkan Fault-Free Run (FFR) yang melibatkan Electric Multiple Unit (EMU) bagi perkhidmatan penumpang serta Electric Locomotive (E-Loco) bagi perkhidmatan kargo dimulakan pada Oktober, lebih awal daripada jadual asal pada November 2026 tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kualiti," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

 

EMU, E-Loco lulus Ujian Penerimaan Kilang (FAT) yang komprehensif

Menurut MRL, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersetuju melaksanakan FFR sejauh 3,000 kilometer bagi set EMU pertama, manakala set EMU berikutnya perlu menjalani FFR sejauh 1,500 kilometer.

 

Bagi E-Loco pula, APAD menetapkan FFR sejauh 3,000 kilometer bagi unit pertama, termasuk 2,500 kilometer dengan formasi dan muatan maksimum serta baki 500 kilometer tanpa muatan.

 

Unit E-Loco berikutnya pula perlu melengkapkan FFR sejauh 1,250 kilometer mengikut pelbagai senario formasi dan muatan yang ditetapkan APAD.

 

MRL berkata EMU dan E-Loco ECRL telah menjalani ujian di landasan khas oleh pengeluar tren di China sebelum dihantar ke Malaysia.

 

Selain itu, kedua-dua jenis tren berkenaan telah lulus Ujian Penerimaan Kilang (FAT) yang komprehensif, manakala laporan ujian telah disahkan MRL sebelum penghantaran ke Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan Fasa 1 ECRL yang mencapai 98.16% setakat September 2026 mengukuhkan keyakinan bahawa sasaran operasi pada pertengahan Disember 2026 dapat dicapai.

 

"Meskipun tempoh pelaksanaan telah dipercepat bagi membolehkan operasi komersial dimulakan pada pertengahan Disember 2026, kami tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan, kualiti mahupun integriti proses pengujian dan pentauliahan," katanya.

 

ECRL melengkapkan perjalanan tanpa henti Gombak-Kota Bharu 3 jam 19 minit

Darwis berkata apabila beroperasi sepenuhnya, ECRL akan menjadi mod pengangkutan mesra alam bagi penumpang dan pengangkutan barangan menerusi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

 

Sementara itu, Comprehensive Inspection Train (C.I.T.) ECRL baru-baru ini melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh 3 jam 19 minit, meliputi jarak 519 kilometer pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.

 

MRL berkata pencapaian itu mengesahkan keupayaan ECRL menyediakan perkhidmatan ekspres di laluan Gombak-KotaSAS-Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam tempoh kurang empat jam.

 

Menjelang pengumuman rasmi tambang penumpang ECRL pada penghujung tahun ini, ujian integrasi sistem turut giat dijalankan melibatkan sistem tiket dan gerbang pembayaran ECRL bagi menyediakan penyelesaian tiket yang lancar kepada penumpang.

 

MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc.), merupakan pemilik projek dan aset ECRL.

 

Syarikat itu turut memegang 50% kepentingan dalam ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), syarikat usaha sama 50:50 antara Malaysia dan China yang bertanggungjawab mengendalikan serta menyelenggara rangkaian rel ECRL.

 

Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.

 

Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam, berbanding sekitar tujuh jam melalui pengangkutan jalan raya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved