RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka mula operasi Februari 2027

2 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka mula operasi Februari 2027 Image from: RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka mula operasi Februari 2027 hamden02/10/2026 - 18:01

KUALA LUMPUR 2 Okt - Perkhidmatan penumpang bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka bermula pada Februari 2027, dengan semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember 2026.

 

RTS Operations Pte Ltd (RTSO) berkata tempoh berkenaan mengambil kira jangkaan tempoh kerja yang masih berbaki, selain masa diperlukan bagi pensijilan keselamatan oleh pihak ketiga serta kelulusan daripada pihak pemberi konsesi kedua-dua negara.

 

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan RTS Link yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

RTS Link merupakan projek dua hala penting antara Malaysia dan Singapura yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

 

Apabila siap, perkhidmatan itu mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, manakala perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa kira-kira lima minit.

 

Kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang ditempatkan bersama turut disediakan di kedua-dua stesen Bukit Chagar dan Woodlands North.

 

Kemudahan itu membolehkan penumpang menyelesaikan urusan imigresen di tempat berlepas mereka.

 

RTSO berkata projek berkenaan dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan dengan ketara serta memudahkan perjalanan harian antara Johor Bahru dan Singapura.

 

Menurutnya, RTS Link juga dijangka mengukuhkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara serta menjana manfaat ekonomi dan sosial bersama bagi Malaysia dan Singapura. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved