MSA sambut baik pelaksanaan Ops Metal SPRM lindungi rantaian bekalan keluli negara

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 2:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MSA sambut baik pelaksanaan Ops Metal SPRM lindungi rantaian bekalan keluli negara

image is not available

16/07/2025 - 14:06

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Persatuan Keluli Malaysia (MSA) menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melancarkan operasi khas ‘Ops Metal’ untuk membanteras kegiatan penyeludupan bagi mengelak daripada membayar duti eksport 15% terhadap sekerap keluli.

MSA berkata, pihaknya amat menghargai respons pantas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam menangani isu itu yang menyebabkan negara kehilangan lebih RM950 juta dalam tempoh enam tahun akibat aktiviti sindiket tersebut.

“Kami menyokong penuh usaha Kementerian dalam memperkukuh integriti pasaran serta kelestarian rantaian bekalan industri keluli.

“Industri keluli adalah sektor strategik yang menyumbang 2.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) Malaysia yang menyediakan lebih 112,000 pekerjaan.

“Ia membekalkan bahan penting kepada industri pembinaan dan pembuatan serta memainkan peranan utama dalam memastikan daya tahan ekonomi negara,” kata MSA dalam satu kenyataan hari ini.

Ops Metal yang dilancarkan pada 14 Julai lalu telah melakukan serbuan di 19 lokasi seluruh negara.

Menurut SPRM, kegiatan haram itu telah menyebabkan negara kehilangan hasil cukai sekitar RM160 juta setiap tahun sejak 2019, sekali gus memberi kesan langsung kepada kestabilan fiskal negara dan keyakinan pelabur.

Mengulas lanjut, MSA berkata, industry keluli kini berdepan tekanan besar akibat penyeludupan sekerap keluli secara haram yang menyebabkan kekurangan bekalan domestik, peningkatan kos dan gangguan kepada operasi pengilang tempatan.

“Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kewangan segera, malah turut mengancam sasaran jangka panjang negara termasuk usaha penyahkarbonan industri.

“Sekerap keluli adalah bahan penting dalam pengeluaran keluli rendah karbon, yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

“Ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran Sifar Bersih 2050, seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” jelas MSA.

Menurut MSA lagi, kekurangan bekalan sekerap domestik akan menjejaskan kemampanan industri tempatan dan menggagalkan peralihan ke arah ekonomi hijau.

Sehubungan itu, MSA mengalu-alukan tindakan tegas pihak berkuasa dan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menjamin rantaian bekalan yang telus, memelihara perdagangan adil dan memastikan pertumbuhan industri keluli yang mampan.

“Kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasaan, kewangan dan perindustrian adalah penting untuk membanteras aktiviti haram ini.

“Kami menggesa pelaksanaan dasar yang memperkukuh edaran sekerap keluli dalam negara, memacu ekonomi kitaran dan menyokong pengeluaran keluli rendah karbon secara berterusan.”

MSA turut menyatakan bahawa langkah-langkah ini penting bagi menyokong pembangunan infrastruktur negara, memenuhi komitmen iklim dan mempertingkat daya saing antarabangsa sektor keluli negara.

Ops Metal, kata MSA, adalah titik tolak penting dalam memulihkan disiplin pasaran, integriti rantaian bekalan dan keyakinan pelaburan jangka panjang.

“Malaysia mesti bertindak tegas bagi mengelakkan kebocoran sumber strategik ini yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara dan peluang pekerjaan, malah turut merencatkan sasaran kelestarian negara,” katanya.

MSA menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan dan pembuat dasar bagi membina sektor keluli yang kukuh, berdaya saing dan tahan iklim selari dengan aspirasi pertumbuhan negara di bawah NIMP 2030 dan pelan Sifar Bersih 2050.- DagangNews.com

standard