MSB Global dilantik sebagai pengedar eksklusif penyerap hentakan jenama Gold di Asia Tenggara

10/10/2025 - 14:35
Pengurus Besar Zhejiang Gold Intelligent Suspension Corp, Chen Wan Li (kiri) bertukar dokumen bersama Pengarah Eksekutif MSB Global Group, Ow Chen Lun (kanan) dalam satu majlis di ibu negara. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Okt - MSB Global Group Berhad menerusi MSB Machinery Corp (Malaysia) Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar eksklusif produk penyerap hentakan automotif jenama Gold di Malaysia, Thailand dan Singapura.
Kumpulan itu berkata, mereka memeterai perjanjian pengedaran ekslusif selama 10 tahun dengan Zhejiang Gold Intelligent Suspension Corp yang berpangkalan di China menggantikan perjanjian awal yang dibuat kedua-dua syarikat pada 1 Ogos 2024.
Pelantikan itu menandakan peristiwa penting serantau untuk MSB Global kerana ia mempercepatkan kehadiran jenama dan portfolio produknya di seluruh Asia Tenggara.
Pengarah Urusan MSB Global Group, Datuk Ow Kee Foo berkata, Singapura menawarkan kepada kami pasaran yang lebih tersusun lagi tertumpu kepada premium di mana pihaknya boleh mengawal terus kedudukan jenama, kualiti perkhidmatan dan sokongan teknikal.
"Thailand, sebaliknya, memberikan peluang pertumbuhan yang menarik, skala selepas pasaran dan budaya penggantian yang kukuh menjadikannya pasaran utama bagi sistem penggantungan berprestasi tinggi Gold," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu berkata, perjanjian itu menjangkau 10 tahun, dengan tempoh permulaan lima tahun, menyasarkan jumlah jualan terkumpul RMB50 juta (kira-kira RM30 juta) di seluruh Malaysia, Thailand dan Singapura dengan peruntukan untuk pembaharuan serta sasaran pertumbuhan tambahan selepas itu.
Katanya, sebagai sebahagian daripada pengaturan itu, MSB Global juga akan menerima sokongan teknikal, bahan pemasaran, dan pensijilan produk daripada Gold untuk memastikan pematuhan dan kecemerlangan perkhidmatan.
Dengan pengembangan serantau itu, MSB Global mengukuhkan cita-citanya untuk menjadi peneraju pelbagai pasaran dalam penyelesaian pasaran selepas berorientasikan prestasi, menggabungkan eksklusif jenama dengan pelaksanaan khusus pasaran.
Kumpulan tetap yakin, kerjasama terbaharu itu akan mempelbagaikan lagi aliran pendapatannya dan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang.- DagangNews.com
standard

