MSI baru-baru ini telah mengumumkan kemaskini kepada barisan komputer riba gaming mereka, yang termasuklah model-model seperti MSI Raider 16 HX, MSI Crosshair 16 HX, MSI Titan 18 HX dan MSI Cyborg 15 HX.

MSI Raider 16 HX
MSI memperlihatkan dua model dalam siri ini, iaitu MSI Raider 16 Max dan MSI Raider 16 yang mana kedua-dua model komputer riba ini hadir dikuasakan dengan gabungan cip Intel Core Ultra 200HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 yang berkuasa., dari NVIDIA GeForce RTX 5070 ke NVIDIA GeForce RTX 5090.
Model Raider 16 Max akan hadir dengan paparan OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula setinggi 240Hz, manakala model Raider 16 akan menggunakan paparan IPS dengan resolusi dan kadar segar semula yang sama.

Kedua-dua komputer riba ini juga akan dilengkapi dengan sistem penyejukan Cooler Boost Trinity+ yang terdiri daripada tiga buah kipas, enam paip haba dan lima ruang aliran udara panas di sekeliling komputer untuk aliran haba keluar dari komputer riba yang lebih cekap.
Penaiktarafan komponen pada komputer riba ini juga telah dipermudahkan dengan pengenalan satu panel di bahagian bawah komputer riba yang membolehkan pengguna untuk menaiktaraf jumlah memori dan kapasiti storan dengan mudah.
MSI Crosshair 16 HX
Jika anda lebih berminat untuk menggunakan komputer riba yang lebih nipis, siri MSI Crosshair 16 terbaru mungkin lebih sesuai untuk anda. Dengan ketebalan chassis setebal 21.9mm sahaja, siri komputer riba ini, yang terdiri daripada MSI Crosshair 16 Max dan MSI Crosshair 16 masih lagi mengekalkan gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 HX dan NVIDIA GeForce RTX 5000 yang cukup berkuasa sekali.

Sama seperti MSI Raider Max, model MSI Crosshair 16 MX juga hadir dengan paparan OLED 16.5 inci dengan resolusi 2560×1440, tetapi dengan kadar segar semula 165Hz. Model MSI Crosshair 16 pula hadir dengan paparan dengan saiz, resolusi dan kadar segar semula yang sama, tetapi menggunakan panel IPS.
Sistem penyejukan komputer riba ini juga telah dikemaskini dengan dua kipas penyejukan, lima paip haba dan empat ruang pengaliran haba di bahagian sisi dan belakang komputer riba untuk prestasi gaming dan perkomputeran yang lebih cekap.
MSI Titan 18 HX
MSI Titan 18 adalah komputer riba gaming paling berkuasa dalam siri komputer riba gaming MSI. Tidak ada bezanya kali ini, dimana ia hadir dengan gabungan komponen paling berkuasa oleh Intel dan NVIDIA, termasuklah penggunaan cip Intel Core Ultra 9 processor 290HX Plus dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090.
Dari segi paparan pula, komputer riba ini dimuatkan dengan paparan MiniLED bersaiz 18 inci dengan resolusi 4K (3840×2400) dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan setinggi 1000 nit.

Dari segi sokongan memori dan storan pula, MSI Titan 18 HX hadir dengan dua slot memori yang boleh menyokong sehingga 128GB memori DDR5, dan empat ruangan storan, yang nama satu daripadanya ialah slot storan PCIe 5.0 dan tiga lagi adalah slot PCIe 4.0.
MSI Cyborg 15 HX
MSI Cyborg 15 HX merupakan komputer riba yang hadir dengan spesifikasi lebih mampu-milik, tetapi dilihat masih boleh digunakan untuk menggerakkan banyak permainan-permainan moden. Siri ini juga terdiri daripada dua model, MSI Cyborg 15 HX Max dan MSI Cyborg 15 HX.
Model Max hadir dengan penawaran Intel Core Ultra 200 HX bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070, manakala model lagi satu hadir dengan penawaran CPU yang sama, dengan gabungan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5050 ataupun GeForce RTX 5060.

Dari segi paparan pula, kedua-dua model ini juga hadir dengan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz untuk pengalaman gaming yang lancar. Sistem Cooler Boost terbaru dengan dua kipas dan tiga paip haba hadir untuk menyejukkan komponen-komponen dalaman komputer riba ini dan membolehkannya beroperasi untuk pelbagai tujuan dengan cekap.
MSI dijangka akan memperlihatkan penawaran-penawaran komputer riba ini sewaktu acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada awal bulan Jun kelak, dan dijangka akan mengumumkan butiran tambahan seperti tarikh pelancaran dan harga di acara tersebut.




