
PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat serta modal insan industri kreatif negara.
Dalam satu kenyataan, MSU berkata, kerjasama itu melibatkan pembangunan bakat pelajar, pensyarah serta pemain industri kreatif selain memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
“Kerjasama ini dijangka terus memperkukuh ekosistem industri kreatif negara, di samping menyokong pertumbuhan berterusan sektor perfileman dan industri kreatif Malaysia khusus melalui kerjasama institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan yang menerajui pembangunan industri perfileman dan kreatif Malaysia,” ujarnya.
Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan kurikulum, melaksanakan program peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), selain menyediakan latihan, khidmat perundingan serta pensijilan profesional kepada tenaga kerja industri kreatif.
Kerjasama itu turut meliputi penyediaan akses kepada rangkaian industri, pelaksanaan latihan industri pelajar serta pertukaran kakitangan akademik dan pakar industri melalui pelantikan sebagai profesor atau pensyarah adjung.
Selain itu, MSU dan Finas akan menganjurkan festival filem, seminar, persidangan serta program berkaitan industri kreatif, di samping memperluaskan kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan penerbitan ilmiah bagi menyokong pembangunan sektor perfileman negara.
Kerjasama berkenaan adalah bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif Malaysia menerusi sinergi antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat di peringkat industri.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib – KOSMO! ONLINE
The post MSU, Finas berganding bahu lahir lebih ramai bakat industri kreatif appeared first on Kosmo Digital.






