hamden27/04/2026 - 17:47 Dr. Zahari Mohamad (dua dari kiri) dan Dr. Goetz Baumgarten (dua dari kanan) pada majlis menandatangani Perjanjian Bekalan dan Pembelian antara MTC Orec dan Evonik. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 April - MTC Orec Sdn Bhd (MTCO), pakar kejuruteraan bioenergi tempatan memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang bersama Evonik Industries AG (Evonik), peneraju global dalam bahan kimia khusus, menerusi pemeteraian Perjanjian Bekalan dan Pembelian bagi mempercepatkan pembangunan biometana di Malaysia dan Asia Tenggara.
Perjanjian tersebut dimeterai pada 23 April 2026 oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTCO, Dr. Zahari Mohamad, dan Naib Presiden – Membranes & Fibres Evonik, Dr. Goetz Baumgarten.
Menurut MTCO, kerjasama yang bermula sejak 2015 itu telah berkembang daripada kajian awal pemanfaatan sisa organik kepada pembangunan projek berskala komersial, termasuk dua loji suntikan biometana ke dalam grid nasional di Johor pada 2019.
"Sejak itu, kedua-dua pihak telah melaksanakan pelbagai projek di Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuktikan kebolehlaksanaan teknologi biometana sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui alternatif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tujuh loji biometana dibangunkan
Setakat ini, perkongsian MTCO–Evonik telah menyumbang kepada pembangunan tujuh loji biometana, merangkumi pelbagai aplikasi termasuk sistem “virtual pipeline” menggunakan trak gas asli termampat bagi membekalkan tenaga ke kawasan luar grid seperti kilang sawit, tapak pelupusan dan ladang.
Selain itu, kerjasama tersebut turut berkembang kepada pemprosesan pelbagai jenis sisa termasuk sisa pepejal bandar, sisa makanan dan sisa haiwan, yang meningkatkan kecekapan penghasilan biometana secara lebih meluas.
Antara pencapaian utama adalah pembangunan loji suntikan paip ketiga di Malaysia yang terletak di sebuah pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu di Pulau Pinang.
Pengukuhan teknologi dan keupayaan tempatan
MTCO berkata, integrasi teknologi membran SEPURAN® Green milik Evonik telah meningkatkan keupayaan teknikal syarikat dalam mengendalikan pelbagai komposisi gas serta bahan suapan yang kompleks.
Sebagai pengeluar OEM strategik Evonik yang diperakui, MTCO turut mengekalkan pemilikan penuh terhadap reka bentuk proses dan kejuruteraan terperinci, membolehkan penyesuaian teknologi global kepada keperluan operasi tempatan.
Sementara itu, sebagai syarikat pelaburan di bawah VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH), MTCO telah memperkukuh pertumbuhan dan pengembangan serantau dengan sokongan tadbir urus serta hala tuju strategik yang lebih jelas.
Sasaran perluasan ke ASEAN dan bahan api hijau
Kerjasama baharu ini dijangka mempercepatkan pengembangan ke pasaran Indonesia serta negara-negara Asia Tenggara lain, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui.
Pada masa sama, kedua-dua pihak turut meneroka potensi dalam segmen baharu seperti Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan Sustainable Marine Fuels (SMF) bagi menyokong peralihan tenaga rendah karbon serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif MTCO, Dr. Zahari Mohamad berkata, kerjasama dengan Evonik mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh inovasi dan kejuruteraan bioenergi.
“Dengan sokongan VentureTECH, kami bukan sahaja membina loji, tetapi membangunkan ekosistem bioenergi yang menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab utama bioenergi di Asia Tenggara,” katanya. - DagangNews.com






