MTD Philippines meterai MoU pembangunan pelan induk bersepadu di Cebu, perkukuh kerjasama Malaysia-Filipina

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 6:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MTD Philippines meterai MoU pembangunan pelan induk bersepadu di Cebu, perkukuh kerjasama Malaysia-Filipina Image from: MTD Philippines meterai MoU pembangunan pelan induk bersepadu di Cebu, perkukuh kerjasama Malaysia-Filipina hamden20/05/2026 - 18:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei - MTD Philippines Inc memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Provinsi Cebu bagi pembangunan pelan induk bersepadu di City of Naga, Cebu, sekali gus mengukuhkan kerjasama ekonomi dan infrastruktur antara Malaysia dan Filipina.

 

MOU tersebut ditandatangani oleh Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MTD Philippines Inc., Patrick Nicholas David dalam satu majlis di Cebu, Filipina.


Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, yang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh dalam kalangan negara ASEAN.

 

Turut hadir Presiden Kumpulan AFK Group, Tan Sri Dr. Azmil Khalid, ahli Lembaga Wilayah Cebu serta pegawai kerajaan berkaitan.

 

MTD Philippines Inc., yang merupakan sebahagian daripada kumpulan AFK Group, mempunyai rekod pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar di Filipina termasuk Pusat Kerajaan Bataan dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Nasional di New Clark City, Capas, Tarlac.

 

Projek pelan induk berkenaan akan dibangunkan di atas tanah milik Provinsi Cebu di Naga City, dengan cadangan pembangunan meliputi pusat pentadbiran kerajaan satelit, hab sukan dan ekonomi termasuk stadium berkapasiti 20,000 tempat duduk serta pusat akuatik, selain pusat keselamatan makanan, terminal pengangkutan dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MTD Philippines Inc., Patrick Nicholas David berkata MoU itu menjadi permulaan kepada proses pembangunan yang lebih berstruktur dan telus.

 

“Apa yang bermula hari ini adalah proses yang berdisiplin dan telus, termasuk penilaian teknikal bersama, perancangan pelan induk serta kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh,” katanya.

 

Beliau berkata, semua fasa pelaksanaan akan mematuhi peraturan perkongsian awam-swasta (PPP) serta keperluan perolehan kerajaan Filipina.

 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan AFK Group, Tan Sri Dr. Azmil Khalid berkata projek tersebut mencerminkan aspirasi bersama dalam membangunkan infrastruktur yang lebih mampan dan berorientasikan komuniti.

 

“Hari ini bukan sekadar pemeteraian MoU, tetapi permulaan aspirasi bersama untuk menggabungkan kepimpinan awam, kepakaran sektor swasta dan kerjasama serantau bagi membangunkan pembangunan masa depan yang mampan untuk rakyat Cebu,” katanya.

 

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur perlu diukur bukan sahaja dari segi skala fizikal, tetapi juga impaknya terhadap kualiti hidup dan peluang ekonomi komuniti setempat.

 

Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro pula berkata projek tersebut selaras dengan visi jangka panjang wilayah itu.

 

“Cebu memerlukan akses lebih baik kepada perkhidmatan kerajaan, peluang ekonomi yang lebih kukuh, ruang yang memperkasa belia melalui sukan serta penyelesaian mampan bagi keselamatan makanan,” katanya.

 

MoU itu turut menetapkan rangka kerja bagi kajian kebolehlaksanaan, pelan induk dan kerjasama strategik, dengan semua pihak komited untuk mematuhi prinsip ketelusan, tadbir urus baik serta peraturan undang-undang yang berkuat kuasa di Filipina. - DagangNews.com

Terkini standard