
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengingatkan komuniti nelayan supaya meningkatkan langkah keselamatan ketika turun ke laut pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Majid @ Razali berkata ia termasuk keperluan memakai jaket keselamatan dan suar pengesan peribadi (PLB) untuk memudahkan kerja mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kes kecemasan.
“Dalam keadaan monsun begini, pakailah jaket keselamatan walaupun aktiviti (menangkap ikan) hanya di pesisir pantai, jika berlaku kes kecemasan kemungkinan untuk selamat itu tinggi.
“Saya juga sarankan setiap nelayan belilah PLB untuk mudah kita kesan lokasi mereka. Laut itu luas, jika berlaku kecemasan senang kita hendak kesan walau di mana berada,“ katanya pada sidang media di Pejabat APMM Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut menasihatkan para nelayan supaya memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut untuk mencari rezeki.
Mohd Khairulanuar berkata, bermula Januari hingga semalam, sebanyak 18 operasi carilamat melibatkan 54 mangsa telah dijalankan.
“Kita tidak halang nelayan turun ke laut, tapi pastikan peralatan dalam keadaan baik dan maklumkan juga lokasi di mana hendak tangkap ikan, senang hendak cari kalau hilang,“ katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairulanuar berkata APMM tetap berwaspada dan meningkatkan rondaan pada musim MTL bagi mengelak pencerobohan oleh nelayan asing.
Katanya bermula Januari tahun ini hingga semalam, sebanyak 22 bot nelayan asing telah ditahan melibatkan rampasan bernilai RM33.4 juta.
“Kita turut menjalankan pemantauan dari udara di pulau-pulau yang menjadi tempat mereka berlindung ketika MTL sebelum ini, tapi setakat ini tiada tanda-tanda kehadiran mereka,“ katanya.-Bernama

