MTL: Peniaga dibenarkan simpan stok barang kawalan lebih 30 peratus

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 2:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MTL: Peniaga dibenarkan simpan stok barang kawalan lebih 30 peratus
Lilis Saslinda (kanan) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 peringkat negeri Johor di Skudai, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Peniaga di Johor yang mempunyai lesen khas dibenarkan meningkatkan simpanan stok barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had ditetapkan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, langkah proaktif itu bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak mencukupi sepanjang musim berkenaan.

Katanya, kelonggaran itu membolehkan peniaga meningkatkan kapasiti simpanan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan keadaan cuaca tidak menentu.

“KPDN Johor mengambil langkah proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi MTL dengan membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus.

“Barangan tersebut merupakan keperluan asas iaitu barang kawalan seperti beras dan minyak masak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di NSK Trade City, Skudai di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, MTL bagi musim 2026/2027 bermula 27 Oktober lalu hingga Mac tahun depan.

Dalam perkembangan sama, Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan bekalan barang kawalan terjamin.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung pembelian panik dalam kalangan pengguna susulan kebimbangan terhadap ancaman siber yang berpotensi menjejaskan bekalan.

“Tidak ada pembelian panik dan kita percaya pengguna di Johor juga bijak dalam membuat pembelian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDN Johor merekodkan 2,373 kesalahan pelbagai akta dengan nilai sitaan melebihi RM11.6 juta dari awal tahun ini hingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,774 kesalahan direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala selebihnya membabitkan kesalahan di bawah beberapa akta lain.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved