amree03/06/2026 - 14:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) menganugerahkan kontrak pembinaan sebuah kapal kontena baharu bernilai AS$40 juta (kira-kira RM169 juta) kepada syarikat China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, penempahan kapal berkenaan sebagai langkah memperkukuhkan kapasiti armada dan memanfaatkan pertumbuhan perdagangan serantau.
Anak syarikat milik penuhnya tidak langsung, MTT Shipping Pasir Gudang Sdn Bhd menganugerahkan kontrak kepada Wuhu Shipyard Co Ltd bagi pembinaan kapal kontena itu yang berkapasiti 3,300 TEU.
"Kontrak yang bernilai sekitar AS$39.97 juta itu sudah bermula pada 29 Mei 2026 lalu sehingga penyerahan kapal berkenaan yang dijadualkan selewat-lewatnya menjelang 31 Mac 2029 kelak," jelas MTTSL.
Menurutnya, kapal tersebut akan dibina mengikut spesifikasi China Classification Society (CCS) dengan kapasiti had muatan kira-kira 3,300 TEU serta berat muatan minimum kira-kira 54,400 tan metrik.
Kapal berkenaan ujar kumpulan tersebut, juga akan didaftarkan di bawah bendera Malaysia selepas siap dibina, manakala pembayaran kontrak akan dibuat secara berperingkat menerusi lima fasa utama.
MTTSL berkata kontrak itu turut mengandungi peruntukan ganti rugi tertentu jika berlaku kelewatan penyerahan atau kegagalan mencapai spesifikasi prestasi yang dipersetujui termasuk aspek kelajuan.
"Selain itu, kapal berkenaan dilindungi jaminan selama 12 bulan selepas penyerahan, dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan selepas ia mula beroperasi," tambahnya.
Lembaga pengarah turut memaklumkan yang tiada kepentingan secara langsung atau tidak langsung melibatkan mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam kontrak tersebut.
Wuhu Shipyard yang berpangkalan di Anhui, China merupakan pembina kapal komersial yang berpengalaman dalam pembinaan pelbagai jenis kapal termasuk kapal kontena. - DagangNews.com

